Selasa, 7 March 2017 | 10:50am

Tak ramai pensyarah pencen minat sambung khidmat


Prof. Datin Paduka Dr Aini Ideris.- Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Tidak ramai pensyarah yang berpencen wajib berminat untuk meneruskan perkhidmatan mereka dengan Universiti Awam (UA) kerana mereka mempunyai perancangan persaraan masing-masing.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata hanya pensyarah yang cemerlang berminat untuk terus bekerja setelah berpencen wajib.

Katanya, ada juga pensyarah yang diminta meneruskan perkhidmatan mereka oleh Ketua Jabatan masing-masing secara kontrak bagi memenuhi keperluan jabatan masing-masing.

"Dalam hal ini, Universiti awam (UA) akan mencari dan mendapatkan dana yang sesuai untuk mereka ini," katanya mengulas mengenai isu pemberhentian pensyarah di UA.

Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi menjelaskan jumlah pensyarah yang tamat kontrak, bersara dan diberhentikan sejak 2012 hanya membabitkan 2,000 orang bukan 6,000 seperti didakwa Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Kebanyakan pensyarah berkenaan berpencen wajib dan tamat kontrak perkhidmatan.

Aini berkata, di UPM, satu skim yang dikenali sebagai Skim Amal Putra diperkenalkan bagi membolehkan mereka yang ingin menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing berkhidmat secara sukarela.

Katanya, melalui skim itu, kakitangan UPM yang sudah bersara wajib tetapi ingin menyumbang secara sukarela dalam pelbagai bentuk bantuan termasuk pengajaran, penyelidikan, penyeliaan pelajar, khidmat nasihat dan lain lain.

"Mereka tidak dibayar gaji mahupun elaun tetapi diberi kemudahan tertentu. Sejak diperkenalkan, ia mendapat sambutan menggalakkan dan mereka yang menyertainya menyatakan mereka seronok dan senang hati untuk menyumbang. Masa untuk berkhidmat adalah fleksibel yang dipersetujui antara mereka dan ketua jabatan.

Mengulas dakwaan pemberhentian dan penamatan kontrak itu ada kaitan dengan pemotongan peruntukan kepada UA, katanya, dakwaan itu tidak benar kerana tiada kaitan antara pengurangan kos dengan pengambilan pelajar, pensyarah atau jumlah perjawatan di universiti.

56 dibaca
Berita Harian X