Selasa, 7 March 2017 | 7:16pm

Kerajaan Sudan kecewa keputusan Trump

PENUNJUK perasaan semasa perhimpunan menentang larangan perjalanan di Lapangan Terbang Antarabangsa San Diego di San Diego, California. - Foto AFP

KHARTOUM: Kerajaan Sudan melahirkan rasa kesal dan tidak berpuas hati atas keputusan Presiden Donald Trump mengharamkan rakyat negara itu memasuki Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar negara berkenaan menyuarakan rasa kecewa di atas arahan terbaru Trump itu walaupun kedua-dua negara saling bekerjasama dalam membanteras aktiviti pengganas di peringkat antarabangsa.

Trump semalam mengumumkan larangan kemasukan baharu pelarian dan pemberian visa untuk rakyat dari enam negara majoriti Islam, antaranya Sudan.

Ia adalah arahan terbaru selepas larangan kali pertama dimansuhkan Mahkamah Persekutuan AS.

Arahan itu melarang kemasukan baharu pelarian selama 120 hari dan pemberian visa kepada rakyat Syria, Iran, Libya, Somalia, Yaman dan Sudan.

Ia bagaimanapun tidak membabitkan rakyat Iraq yang turut termaktub dalam larangan kali pertama sebelum ini.

"Selama ini, kedua-dua kerajaan saling berbincang untuk menangani aktiviti pengganas di peringkat antarabangsa. Ia membuktikan peranan kami dalam membanteras aktiviti yang membahayakan semua rakyat dan seluruh dunia," kata kementerian itu. - AFP

Berita Harian X