Rabu, 8 March 2017 | 12:12am

Cabaran Mercy bantu 1,200 keluarga pelarian Rohingya

KUALA LUMPUR: Menempuh lebih dua jam setengah perjalanan menaiki bot laju dari Sittwe, antara cabaran dilalui sukarelawan Mercy Malaysia untuk menyampaikan bantuan kepada pelarian etnik Rohingya yang terjejas di Maungdaw, Rakhine, Myanmar, sejak Januari lalu.

Setiba di wilayah konflik Maungdaw, sukarelawan yang diketuai Pengarah Pembangunan Program Strategik Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah, perlu mematuhi arahan dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa tempatan sebelum bantuan disampaikan kepada kelompok terjejas.

Menjadi satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia yang berdaftar dengan Kerajaan Myanmar sejak 2012, Mercy Malaysia diberi kepercayaan beroperasi di Maungdaw bersama-sama agensi antarabangsa seperti UNHCR dan MSF selepas insiden Oktober 2016.

"Kita diberi kebenaran masuk Maungdaw sejak Januari lagi tetapi terhad kepada kakitangan tempatan. Kemudian sukarelawan kita dari Malaysia dibenarkan masuk ke Maungdaw, pada 15 Februari lalu.

"Kita berjaya sampaikan bantuan kepada 1,200 keluarga di empat kampung terjejas di Maungdaw," kata Norazam merujuk kepada bantuan trapulin (kanvas khemah) dan kit kebersihan yang disalurkan kepada pelarian Rohingya di Nga Sar Kyeuk, Kyet Yoe Pin, Dah Gyi Zar dan Ngar Khu Ya.

Semua kampung itu terjejas dalam insiden pasca 9 Oktober tahun lalu yang mana tentera Myanmar dilaporkan melakukan operasi pembersihan yang didakwa membabitkan penindasan ke atas hak asasi etnik Rohingya di utara Rakhine itu.

PROGRAM agihan bantuan Mercy Malaysia di Maungdaw, Rakhine, Myanmar. - Foto ihsan Mercy Malaysia

MERCY Malaysia turut membuka klinik statik dan klinik bergerak di kem pelarian Rohingya di Sittwe, Rakhine, Myanmar sejak 2012. - Foto ihsan Mercy Malaysia

Media antarabangsa melaporkan tentera melakukan jenayah kemanusiaan ke atas etnik Rohingya yang tidak diiktiraf di Myanmar walaupun kelompok itu dikatakan mendiami Rakhine yang terletak bersempadan Bangladesh, sejak sekian lama.

Kerajaan Myanmar menafikan melakukan jenayah kemanusiaan ke atas kelompok Rohingya dan menghentikan operasinya pada pertengahan Februari lalu selepas insiden di Maungdaw itu mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

Lebih 65,000 pelarian Rohingya dilaporkan melarikan diri ke Bangladesh khususnya ke Teknaf berikutan insiden di utara Rakhine dengan laporan terkini media menyatakan sebahagian pelarian mula kembali ke Myanmar selepas operasi tentera ditamatkan.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyalurkan bantuan kepada kelompok terjejas di Rakhine, termasuk etnik Rohingya.

"Kami sebenarnya mempunyai tapak yang kukuh di Myanmar sejak Taufan Nargis pada 2008. Kami juga beroperasi di Sittwe sejak 2012 dan menjadi NGO berdaftar di Rakhine," katanya.

Setakat ini, Mercy Malaysia menyumbang lebih RM10 juta untuk menjalankan projek kemanusiaan di Sittwe, termasuk mengendalikan 10 klinik statik dan klinik lapangan di kem-kem pelarian di Myanmar.

MERCY Malaysia turut membuka klinik statik dan klinik bergerak di kem pelarian Rohingya di Sittwe, Rakhine, Myanmar sejak 2012. - Foto ihsan Mercy Malaysia

PELARIAN Rohingya menerima rawatan di klinik kelolaan Mercy Malaysia. - Foto ihsan Mercy Malaysia

"Kita bercadang meluaskan program penjagaan kesihatan dari Sittwe ke Maungdaw berikutan ada keperluan mendesak di kawasan itu. Mercy Malaysia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar dan NGO tempatan dalam hal ini," katanya.

Dr Faizal berkata, Mercy Malaysia akan menumpukan kepada program khidmat kesihatan, pengagihan makanan, program nutrisi kanak-kanak dan ibu selain program air dan sanitasi di Maungdaw.

Norazam akan mengetuai sukarelawan Mercy Malaysia untuk menyampaikan bantuan generator kecemasan kepada Hospital Maungdaw pada 9 Mac ini bagi membantu meringankan konflik di wilayah utara Rakhine.

FAKTA NOMBOR:

  • RM10 juta bantuan kemanusiaan Mercy Malaysia di Rakhine sejak 2012.
  • 2008 mula bertapak di Myanmar sejak insiden Taufan Nargis.
  • 2012 Mercy Malaysia berdaftar sebagai NGO beroperasi di Rakhine, Myanmar. 
SEBANYAK 1,200 keluarga menerima bantuan di empat kampung yang terjejas di Maungdaw. - Foto ihsan Mercy Malaysia
Berita Harian X