Ahad, 28 Disember 2014 | 7:26pm
Kapal milik TLDM, KD Lekiu antara aset negara yang akan berlepas ke lokasi pencarian pesawat AirAsia QZ8501 kendalian Indonesia, malam ini. - Foto Pertahanan Malaysia

QZ8501: Aset Malaysia berlepas malam ini - Hishammuddin

KUALA LUMPUR : Tiga kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan berlepas ke lokasi pencarian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 malam ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata aset itu adalah KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu serta sebuah helikopter jenis Fennec.

Katanya, pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan dikerah membantu Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Saya sudah bercakap dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu, dan saya menyatakan bahawa dalam semangat perpaduan ASEAN ini, kita bersedia untuk membantu jika diperlukan oleh kerajaan Indonesia.

"Saya juga sudah berhubung dengan Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen mengenai perkara ini untuk mengukuhkan lagi komitmen kami dalam usaha mencari dan menyelamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, kementeriannya serta Angkatan Tentera Malaysia tetap akan membantu Indonesia walaupun pada masa ini tumpuan adalah kepada usaha bantuan banjir di pantai timur Malaysia.

"Mengulangi kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, Malaysia sedia membantu Indonesia dalam misi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang itu," katanya.

Berita Harian X