Rabu, 8 March 2017 | 11:31am

Data satelit MH370, penemuan serpihan diteliti semula


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berbincang bersama dengan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman (dua kiri) sebelum sesi soal jawab di Dewan Rakyat bangunan Parlimen. - Foto NSTP/Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Negara yang terbabit dalam operasi mencari MH370 akan meneliti semula data merangkumi gambar satelit dan penemuan serpihan bagi menentukan lokasi pesawat malang itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penelitian itu perlu dibuat semula pasukan penyiasat diketuai Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) selepas Malaysia, Australia dan China bersetuju menangguhkan operasi pencarian MH370.

"Kita mendapat sokongan ATSB untuk mengkaji semua data yang ada termasuk melihat kembali gambar satelit dan penemuan serpihan.

"Ia bagi memastikan kita mendapat kedudukan MH370 dengan lebih tepat," katnya menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pagi ini.

Menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai penyebaran berita palsu, Tiong Lai berkata, kementerian mengambil inisiatif menyalurkan maklumat tepat mengenai carian kepada waris mangsa dan orang ramai.

Beliau berkata, segala maklumat dan fakta carian turut dimuat naik di laman web rasmi kementerian bagi rujukan semua pihak dan waris mangsa.

Sebelum ini, Malaysia, China dan Australia memutuskan untuk menangguhkan operasi pencarian pesawat MH370 apabila pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi selesai.

29 dibaca
Berita Harian X