Rabu, 8 March 2017 | 2:00pm

Permintaan rumah mampu milik masih tinggi, 2017

BERDASARKAN trend pasaran hartanah yang bermula sejak 2013, aktiviti pasaran hartanah pada tahun ini dijangka akan lebih perlahan.

Bagaimanapun, secara puratanya, harga hartanah masih mengalami peningkatan walaupun pada kadar sederhana.

Tidak ketinggalan sektor kediaman mampu milik masih menjadi tumpuan utama pembeli dan ia terus menjadi keutamaan pembangunan bagi sebahagian besar pemaju tempatan.

Sektor berkenaan turut dirangsang dengan dasar baharu kerajaan, antaranya projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang diwujudkan bagi memastikan sasaran penyediaan rumah mampu milik kepada rakyat menepati sasaran.

Antara lain, dua dasar baharu diperkenalkan iaitu had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah untuk memohon rumah PR1MA dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000 dan tempoh moratorium atau pegangan hartanah itu dipendekkan daripada 10 tahun kepada lima tahun.

Perunding hartanah antarabangsa, Rahim & Co, dalam taklimat tinjauan pasaran hartanah 2016/2017 di Kuala Lumpur, baru-baru ini turut memperkatakan mengenai sektor kediaman mampu milik dijangka masih menjadi tumpuan kepada pembeli pada tahun ini.

Dalam taklimat itu, penyediaan rumah mampu milik masih hangat diperkatakan, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagaimanapun, Rahim & Co berkata, kegagalan untuk mendapatkan kelulusan bagi pinjaman perumahan menjadi antara sebab ramai bakal pembeli tidak dapat membeli rumah yang diidamkan.

"Justeru itu, Bajet 2017 yang dibentangkan sebelum ini telah mengetengahkan beberapa inisiatif seperti pembiayaan 'step-up' bagi unit perumahan oleh PR1MA; program rumah untuk sewaan serta pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan bagi pembelian rumah pertama," katanya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Rahim & Co Group of Companies, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman, berkata usaha untuk meningkatkan kadar pemilikan kediaman terutama bagi rumah mampu milik juga perlu mendapatkan kerjasama semua pihak berkaitan.

"Dalam hal ini, kerajaan perlu memainkan peranan. Pemaju hartanah misalnya, perlu menyediakan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada projek yang dibangunkan dalam lingkungan harga rumah mampu milik yang mana tarif mampu milik itu ditetapkan oleh kerajaan.

"Perkara ini bukan saja membantu syarikat pemaju untuk membangunkan projek kediaman pada harga yang mengikut pasaran semasa, tetapi pada masa sama membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, prospek bagi hartanah kediaman mewah bernilai lebih RM5 juta juga dijangka tidak mencatatkan kenaikan, sebaliknya berpotensi untuk penurunan lima peratus pada kadar sewa atau harga, pada tahun ini.

"Turut terkesan bagi hartanah bernilai bawah RM2 juta yang dijangka tidak berubah. Tetapi bagi rumah mampu milik di bawah RM500,000 dilihat akan mengalami kenaikan, di tengah-tengah permintaan yang kukuh.

"Ini disebabkan bekalan bagi kediaman mampu milik kurang dan tidak mencukupi untuk menampung permintaan tinggi," katanya.

Sementara itu, mengenai prospek pasaran hartanah pada tahun ini, perunding hartanah berkenaan turut menyifatkan ia kekal lemah dan mungkin mengalami pemulihan dalam tempoh 24 bulan akan datang.

Berdasarkan laporan tahunan perunding hartanah itu, jumlah keseluruhan transaksi hartanah pada sembilan bulan pertama 2016 direkodkan sebanyak 239,983 unit, penurunan sebanyak 11.9 peratus berbanding 272,296 unit tempoh sama 2015.

Trend penurunan berkenaan bermula sejak 2013. Meskipun terdapat sedikit kenaikan dilihat pada 2014, trend penurunan berkenaan berterusan ke 2015 dan tiga suku pertama 2016.

Jumlah keseluruhan nilai transaksi hartanah juga dilihat menurun sebanyak 16.4 peratus kepada RM95.4 bilion.

Bagaimanapun, menurut firma itu, pasaran hartanah Malaysia dijangka akan mengalami pemulihan pada tahun depan dan akan datang dengan unjuran peningkatan transaksi jualan sekitar 10 peratus.

Pertumbuhan itu akan dipacu oleh pelbagai faktor, termasuk kemasukan pelaburan asing seperti China yang dijangka membuka peluang menerusi pembangunan projek dalam sektor hartanah.

INFO:

- Jumlah nilai transaksi kediaman menunjukkan penurunan pada kadar 10.8 peratus pada sembilan bulan pertama 2016, daripada RM54.2 bilion kepada RM48.3 bilion pada tempoh sama 2015.

121 dibaca
Berita Harian X