Rabu, 8 March 2017 | 5:46pm

BAKTI sumbang bantuan RM120,000


ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) menyerahkan sumbangan bernilai RM5,000 kepada wakil badan kebajikan Kompleks Penyayang BAKTI ketika majlis makan tengah hari Yee Sang sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2017. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed

KUALA LUMPUR: Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) menyampaikan sumbangan bernilai RM120,000 kepada penghuni di 15 rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang.

Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan bernilai RM5,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor.

Penyampaian sumbangan diadakan pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Majlis anjuran BAKTI dan YTL Corporation Bhd itu dihadiri anggota BAKTI bersama lebih 500 orang daripada 15 pusat kebajikan dan rumah orang tua sekitar Lembah Klang.

Antara pusat kebajikan terbabit ialah Rumah Orang Tua Ampang, Ti-Ratana, Rumah Amal Cheshire Selangor dan Chempaka Buddhist.

Program bertujuan menghulur bantuan kepada golongan kurang bernasib baik, selain mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.

Terdahulu, Rosmah turut menggaul yee sang sempena Tahun Baharu Cina dan memberi angpau kepada hadirin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan BAKTI, Toh Puan Aishah Ong, Pengarah Eksekutif YTL Corporation Bhd, Datuk Yeoh Soo Min.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian pelajar sekolah PERMATA Seni serta pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Jinjang.

88 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »