Rabu, 8 March 2017 | 8:47pm

Tiada Bull Shark di perairan Pulau Kapas

JERUNG jenis bull shark yang dibawa ke Jeti LKIM Marang. - Foto ihsan pembaca

KUALA TERENGGANU: Sekeping gambar yang menunjukkan seekor ikan jerung jenis Bull Shark ditangkap nelayan di sekitar Taman Laut Pulau Kapas, Marang, disalahertikan sesetengah pihak dengan mendakwa perairan itu kini tidak lagi selamat.

Dakwaan yang mengatakan kawasan perairan itu kini terdapat gangguan ikan pemangsa itu, dinafikan Jabatan Taman Laut Negeri (JTLN).

Pengarahnya, Muhammad Nur Ashry Bassari, berkata berita yang disebarkan itu tidak tepat kerana jerung itu ditangkap nelayan di luar kawasan Taman Laut Pulau Kapas iaitu melebihi satu batu nautika dari perairan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya orang ramai tidak perlu bimbang dengan berita yang viral itu kerana setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat mengenai gangguan jerung spesies itu, bukan sahaja di Pulau Kapas malah di perairan negeri ini.

"Sebaik dimaklumkan mengenai berita itu, saya meminta pegawai menyiasat dengan merujuk kepada operator pelancongan dan nelayan sebelum mendapati jerung itu ditangkap di luar kawasan Taman Laut Pulau Kapas dan dinaikkan bersama hasil tangkapan lain di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Negeri (LKIN) Marang.

"Ada yang mengambil gambar jerung itu dan menyebarkannya hingga menjadi viral dengan menyatakan ikan itu kini mengganggu perairan pulau pelancongan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Nur Ashry berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan jika terdapat gangguan jerung di perairan negeri ini bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

Berita Harian X