Rabu, 8 March 2017 | 10:31pm

MP diminta bantu beli uniform RELA


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan anggota RELA kita tiba di majlis Pemakaian Pangkat Kehormat RELA kepada Ahli Parlimen di Dewan Matrade. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru sumbangan Ahli Parlimen bagi membantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membeli pakaian seragam untuk anggota di kawasan Parlimen masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan sebelum ini sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM154.5 juta bagi tujuan membeli pakaian seragam RELA, namun ia masih tidak mencukupi berbanding jumlah anggota RELA seramai 3.24 juta.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jumlah itu adalah tinggi dan peruntukan yang diberikan kerajaan hanya mampu membeli kira-kira 200,000 pakaian seragam sahaja.

"Pada tahun lalu, saya cuma meminta RM50,000 tetapi kita tidak akan menolak jika ada (Ahli Parlimen) yang mahu memberi sehingga RM100,000.

"Peruntukan itu tidak akan digunakan oleh RELA sebagai sebuah jabatan, sebaliknya akan digunakan untuk membeli pakaian seragam RELA untuk digunakan pegawai dan anggota mereka di kawasan Parlimen masing-masing.

"Ertinya, kita boleh menjadikan mereka sebagai anggota sukarelawan yang boleh membantu dalam aktiviti-aktiviti yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemakaian pangkat kehormat RELA kepada 122 Ahli Parlimen di Dewan MATRADE di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin.

43 dibaca
Berita Harian X