Khamis, 9 March 2017 | 7:16am

City gagal robek gawang Stoke

PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero (kanan) cuba menghalang pemain Stoke City Ryan Shawcross pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Stoke City di Stadium Etihad di Manchester. - Foto AFP
PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero (kanan) cuba menghalang pemain Stoke City Ryan Shawcross pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Stoke City di Stadium Etihad di Manchester. - Foto AFP

MANCHESTER: Manchester City gagal meledak gol untuk sekadar seri tanpa jaringan di laman sendiri menentang Stoke City awal pagi tadi dan kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

City yang memenangi empat perlawanan terakhir liga, hilang sengat di barisan serangan sepanjang babak pertama dan hanya tampak bermaya selepas rehat di mana Leroy Sane dan David Silva terlepas dua peluang, serta Kelechi Iheanacho tersasar dalam masa kecederaan.

Stoke tampil sebagai pasukan lebih baik di babak pertama dan sepatutnya mendahului permainan apabila Mame Biram Diouf melakukan percubaan awal, dan mereka berjaya menahan asakan ketika City meningkatkan tekanan di akhir permainan.

City kini mengumpul 56 mata, di belakang penghuni tangga kedua Tottenham Hotspur yang mempunyai kelebihan perbezaan gol. Stoke kekal di tangga kesembilan dengan 36 mata.

Dengan jadual padat dan City masih bertanding dalam tiga kejohanan, pengendali Pep Guardiola merehatkan beberapa tonggaknya - pertahanan John Stones, perancang Silva dan penyerang Raheem Sterling. - Reuters

Berita Harian X