Khamis, 9 March 2017 | 12:02pm

Pameran gaya hidup Islamik sempena MIHAS


Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir Dr Mohd Shahreen Madros Zainooreen. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) buat julung kali memperkenalkan segmen pameran baharu iaitu Pameran Gaya Hidup Islamik Antarabangsa Malaysia (MILE).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Ir Dr Mohd Shahreen Madros Zainooreen, berkata pameran itu akan diadakan serentak dengan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2017.

Katanya, pameran itu bertujuan mempromosikan Islam sebagai sebahagian daripada gaya hidup dan akan mempamerkan fesyen, pendidikan, kesusasteraan, kesenian, barang kemas, IT dan multimedia serta pembangunan sosial dan komuniti.

"Bagi MIHAS, kami menyasarkan pertambahan pengunjung seramai 25,000 berbanding 22,000 tahun lalu.

"Ia akan disumbangkan oleh bilangan pempamer yang turut meningkat kepada 627 pada tahun ini berbanding 547 pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran logo baharu MIHAS di sini, sebentar tdi.

Pengenalan logo baharu itu sebagai tanda sumbangan MIHAS terhadap pertumbuhan industri halal dunia sejak ia mula ditubuhkan 14 tahun lalu.

Mohd Shahreen berkata, pada 2005, MIHAS hanya menjana jualan sebanyak RM683.2 juta, namun pada tahun lalu ia mencatat rekod jualan sebanyak RM1.14 bilion.

MIHAS dan MILE 2017 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 5 hingga 8 April ini.

Berita Harian X