Khamis, 9 March 2017 | 3:54pm

IPO EWI jangka jana modal RM2.6 bilion


DARI kiri; Pengerusi EWI, Tan Seri Liew Kee Sin; Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif EWI, Tan Seri Azlan Mohd Zainol dan Datuk Teow Leong Seng pada majlis pelancaran prospektus EWI di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Eco World International Bhd (EWI) menyasar menjana modal sehingga RM2.6 bilion menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Bursa Malaysia, bulan depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Teow Leong Seng, berkata berdasarkan IPO itu, EWI akan menerbitkan 2.153 bilion saham baharu pada harga tawaran RM1.20 sesaham.

Katanya, 408 juta saham diperuntukkan untuk tawaran runcit dengan 120 juta unit untuk pengarah, pekerja dan perniagaan bersekutu yang layak, 240 juta saham untuk pemegang saham Eco World Development Group Bhd dan 48 juta saham untuk orang awam. 

"Antara pelabur utama adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah bersetuju melanggan 212.4 juta saham IPO.

"Ia mewakili 47 peratus daripada saham IPO yang diperuntukkan untuk tawaran institusi," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus EWI di sini, hari ini.

Berita Harian X