Khamis, 9 March 2017 | 4:40pm

JAIPk serbu kolam ikan di Kuala Dipang

KAMPAR: Kolam ternakan ikan yang dipercayai diusahakan secara haram di atas tanah lombong di Kuala Dipang di sini, diserbu pihak berkuasa kelmarin susulan maklumat bahawa ikan di kolam itu diberi makan bangkai babi.

Operasi menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu membabitkan beberapa jabatan seperti Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar dan polis.

Mesej dan gambar mengenai pemeriksaan itu kini menjadi viral di media sosial.

Gambar tersebar menunjukkan tulang haiwan dipercayai babi ditemui di tepi kolam berkenaan termasuk beberapa keping gambar ketika operasi dilakukan.

Mesej yang tersebar pula menyatakan bangkai haiwan berkenaan didakwa diberikan sebagai makanan beberapa jenis ikan seperti patin, rohu dan tilapia oleh pengusahanya dan ternakan itu dipasarkan di Perak serta Pasar Selayang, Selangor.

Difahamkan, pihak berkuasa juga sudah mengambil sampel tulang berkenaan untuk dianalisis kesahihannya sama ada benar tulang yang ditemui itu adalah tulang babi dan bangkai haiwan itu dijadikan makanan kepada ikan.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, ketika dihubungi, mengesahkan operasi dijalankan itu dan memberitahu ketika serbuan pengusaha serta pekerja kolam ternakan itu tiada di lokasi.

Beliau berkata, pihaknya yang turut serta dalam operasi itu hanya menjalankan pemeriksaan daripada aspek halal haram kerana ikan ternakan berkenaan didakwa diberi makan bangkai babi.

Katanya, hukum sama ada halal haram ikan diternak itu hanya ditentukan selepas hasil analisis diperoleh.

73 dibaca
Berita Harian X