Khamis, 9 March 2017 | 7:20pm

Album baharu Dayang dipasarkan 10 April


SELEPAS 16 tahun tidak bekerjasama dengan Ajai, Dayang Nurfaizah kembali merakamkan lagu ciptaan komposer popular terbabit menerusi Separuh Mati Ku Bercinta.

KUALA LUMPUR: Selepas 16 tahun tidak bekerjasama dengan Ajai, Dayang Nurfaizah kembali merakamkan lagu ciptaan komposer popular terbabit menerusi Separuh Mati Ku Bercinta.

Pada 2001, Dayang mula menjadi sebutan peminat muzik tanah air apabila beliau meledak dengan lagu ciptaan Ajai berjudul Seandainya Masih Ada Cinta, petikan album keduanya.

Lagu terbaru berkenaan akan dimuatkan dalam album terkini penyanyi itu, yang baru-baru ini diumumkan sebagai pemenang Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu ke-31 bersama Lelaki Teragung.

Menurut Pengarah Urusan Indigital Music, Pauzi Samad atau Poji, selain Ajai, album yang mungkin memuatkan 13 lagu itu turut menggunakan khidmat beberapa komposer lain seperti Hazami dan Aizat.

"Kami berharap album ini dapat dipasarkan pada 10 April depan. Ketika ini, kami sibuk dengan kerja adunan dan proses 'mastering' album berkenaan.

"Setakat ini juga, kami belum memutuskan lagu yang bakal dijadikan single terbaru Dayang. Masing-masing 'bertikam lidah' memberikan pandangan dalam memilih lagu yang sesuai," kata Poji kepada BH Online.

Dayang sendiri, menerusi kenyataannya sebelum ini, tidak sabar untuk menyajikan buah tangan terbaru untuk peminat. Beliau juga tidak mahu sekadar menghasilkan single, sebaliknya ingin muncul bersama album fizikal.

"Bagi Dayang, album fizikal ialah 'resume' bagi setiap penyanyi. Inilah juga usaha Dayang untuk berkongsi muzik dengan peminat bersama lagu baharu yang bakal dimuatkan dalam album itu nanti.

"Selain itu, tiga single Dayang sebelum ini iaitu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung akan turut disenaraikan dalam album berkenaan," katanya.

Beliau berkata, proses menyiapkan album itu memang memakan masa dan ia sepatutnya dilancarkan tahun lalu, namun beberapa perkara perlu diambil kira dengan sebaiknya, termasuk pemilihan material.

"Dayang tidak mahu terburu-buru, sebabnya Dayang mahu album yang dilahirkan nanti memuaskan hati sendiri dan peminat," katanya yang turut terbabit secara langsung dalam pembikinan album itu.

Berita Harian X