Jumaat, 10 March 2017 | 12:05am

Mesin salai daging kurang asap

SHAH ALAM: Hidangan daging salai amat digemari kerana rasanya yang berlainan berbanding cara masakan biasa.

Namun, bukan mudah untuk menghasilkan daging salai yang sempurna, kerana ia ada ketika ia mengambil masa sehingga 24 jam untuk dihasilkan.

Tetapi dengan kepakaran dan teknologi masa kini, peminat makanan itu boleh menikmati daging salai dimasak sempurna dalam tempoh hanya kurang dua jam.

ZULKARNAIN Hamid (kiri) dan pelajarnya, Mohamad Yusri Abdul Razak (dua kiri) serta Nor Suhaila Abdul Majeed menunjukkan daging mentah yang disalai menggunakan mesin salai pelbagai guna. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Mesin salai pelbagai guna rekaan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Zulkarnain Hamid, boleh dianggap sebagai masa hadapan kepada industri desa berasaskan makanan.

Direka bagi mengurangkan penggunaan tenaga manusia dan penjimatan masa bagi proses salai, mesin ini berjaya dihasilkan dengan bantuan dua pelajarnya melalui skim Jaringan Kajian Persendirian-Awam (PPRN) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Zulkarnain berkata, idea menghasilkan mesin salai itu diperoleh selepas ada permintaan seorang pengusaha daging salai di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, yang memajukan permintaannya melalui skim berkenaan kepada KPT.

IKAN segar, ayam dan daging mentah yang disusun dan sedia untuk disalai. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Idea menghasilkan mesin salai pelbagai guna ini tercetus hasil pemerhatian dan kajian saya terhadap kaedah tradisional dan moden yang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

"Kaedah tradisional lebih memerlukan masa yang panjang dan tenaga kerja berikutan ia perlu pemantauan berterusan, manakala cara moden yang sebelum ini digunakan pula menyebabkan banyak bahan karbon melekat pada makanan yang disalai," katanya.

Beliau berkata, mesin salai moden yang dihasilkannya terbahagi kepada dua bahagian utama dan berbentuk L dengan ruang menyalai lebih tinggi dan berada di hadapan serta terpisah daripada bahagian pembakaran.

Nor Suhaila Abdul Majeed memasukkan ayam segar ke dalam mesin untuk disalai. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Katanya, ruang dalam bahagian menyalai boleh diatur mengikut keperluan dan jenis serta saiz makanan yang mahu disalai.

Biarpun masih menggunakan bahan bakar seperti tempurung, untuk mendapatkan rasa aslinya, kedudukan bahagian pembakaran di belakang ruang menyalai serta dilengkapi sistem penapisan, membuatkan karbon hasil pembakaran tidak terlekat pada makanan.

Selain itu, mesin salai berkenaan juga dilengkapi sistem penentu masa dan kawalan kitaran udara, malah mesin bersaiz peti sejuk berkembar itu juga mampu beroperasi di dalam dan luar bangunan tanpa dipengaruhi faktor cuaca.

Zulkarnain berkata, bahagian pembakaran pula mempunyai penutup untuk membolehkan asap yang diperlukan dalam proses menyalai disalurkan ke ruangan sepatutnya manakala dulang di bahagian bawah kebuk berkenaan memudahkan pembuangan sisa bahan bakar.

TEMPURUNG kelapa dijadikan bahan pembakar mesin salai pelbagai guna. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Saiz mesin salai ini bergantung kepada permintaan pengusaha dan bahan yang mahu disalai. Selepas mesin ini dicuba, kami dapati mesin yang berkapasiti 500 liter ini mampu menyalai kira-kira 10 kilogram daging dalam tempoh dua jam serta memberi pulangan sekali ganda berbanding dengan cara lama," katanya.

Berada pada kedudukan paling sempurna dari segi kajian dan pembuatannya, mesin ini dilihat mampu mempertingkatkan produktiviti dan keuntungan kepada pengusaha makanan berunsur salai.

Dengan potensi besar bagi pasaran serata Asia yang memang terbiasa dengan corak makanan berunsur salai, mesin salai pelbagai guna ini dilihat mampu mengurangkan pencemaran udara hingga 40 peratus berbanding cara konvensional.

FAKTA NOMBOR:

RM33,000 - Kos menghasilkan mesin salai

6 bulan - Jangka masa penghasilan mesin

3 orang - Tenaga kerja

DAGING mentah yang sudah disalai. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
TIGA suis utama pada mesin salai pelbagai guna. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
RUANG bahan bakar mesin salai pelbagai guna. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
REKA bentuk mesin salai pelbagai guna. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
REKA bentuk mesin salai pelbagai guna. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Mohamad Yusri Abdul Razak memasukkan ikan segar ke dalam mesin untuk disalai. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Berita Harian X