Jumaat, 10 March 2017 | 12:53pm

Laporan polis fitnah Shafie Apdal sakit, meninggal dunia

TAWAU: Polis menerima laporan berkaitan berhubung tindakan pengguna Facebook yang memuat naik mesej kononnya Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sakit dan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata laporan itu diterima pada jam 12.53 tengah hari semalam.

Beliau berkata, laporan itu dibuat oleh Penyelaras Parti Warisan Sabah Cawangan Kampung Bergosong di sini, susulan kenyataan dikeluarkan dalam Facebook itu.

Pemilik akaun itu mengeluarkan kenyataan 'Latest news!!!! Presiden Warisan Shafie Apdal dimasukkan ke wad ICU kerana serangan strok dan dikatakan Allahyarham telah pun menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi...Al Fatihah'.

Fadil berkata, pengadu percaya kenyataan itu berunsur fitnah selain boleh mendatangkan kekeliruan terhadap orang ramai kerana Mohd Shafie masih hidup dan menghadiri persidangan Parlimen.

"Polis sudah merakamkan percakapan pengadu dan beberapa saksi, selain akan mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti identiti pemilik akaun Facebook terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fadil berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan aplikasi media sosial dengan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah atau jelik bertujuan menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.

Berita Harian X