Jumaat, 10 March 2017 | 1:09pm

Makan percuma setiap Jumaat

AYER KEROH: Sebuah restoran di Kota Fesyen, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, menjadi tumpuan ramai kerana menyediakan hidangan percuma pada setiap Jumaat.

Restoran MUO Station yang mula beroperasi sejak lebih sebulan lalu itu menyediakan antara empat hingga lima menu percuma antaranya nasi putih, ayam masak kari, bihun goreng, mee goreng dan kuih-muih, bermula jam 12 tengah hari.

Pemilik restoran, Harnawati Dalha, 48, berkata makan percuma itu adalah inisiatif beliau dan suami, Rozman Hussin, 53, untuk membantu meringankan beban kewangan masyarakat, terutama terutama golongan berpendapatan rendah di sekitar kawasan itu.

Beliau berkata, pada mulanya dia dan suami hanya menyediakan hidangan untuk seramai 50 orang, namun jumlah itu meningkat sehingga kira-kira 120 orang berikutan sambutan yang memberangsangkan.

"Kebanyakan pelanggan yang datang adalah pekerja pasar raya, buruh kasar dan juga pelajar universiti berhampiran," katanya ketika ditemui hari ini.

Hidangan percuma di restoran berkenaan akan diberikan bermula jam 12 tengah hari, sehingga lauk habis.

Restoran yang pernah memenangi Anugerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi kategori Kedai Harga Patut itu turut menyediakan 40 jenis lauk pauk serta 20 jenis kuih-muih dan premis dibuka dari jam 7 pagi hingga 11 malam.

Harnawati berkata, dia akan menyediakan antara empat hingga lima jenis hidangan dan menu terbabit berubah setiap minggu mengikut bajet yang ada.

"Seperti hari ini saya sediakan hidangan nasi putih, kuah ayam masak kari, sambal belacan, mee goreng, bihun goreng, salad, kuih-muih sebagai pencuci mulut dan juga air sirap limau.

"Kebiasaannya, saya mengeluarkan bajet lebih RM300 untuk setiap minggu dan kini menyediakan tabung di hadapan kedai bagi individu yang mahu menderma," katanya.

Berita Harian X