Jumaat, 10 March 2017 | 1:55pm

`Kita tak guna orang tengah beli rumah'


DATUK Md Jais Sarday pada. Foto BERNAMA

KLUANG: Pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan rumah kuota Bumiputera di negeri ini tidak dilakukan menerusi orang tengah atau membabitkan pembayaran wang kerana menyalahi prosedur kelulusan serta undang-undang.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday, menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan helah pihak tertentu yang menjamin rumah berkenaan berkenaan jika mendapat sejumlah bayaran.

Katanya, ada aduan mendakwa orang tengah mengatur dan memberi jaminan dengan membayar sejumlah wang kepada ejen bagi mendapatkan unit RMMJ.

"Ini salah. Pembelian RMMJ atau kuota rumah Bumiputera tidak melalui orang tengah.

"Jika ada pihak meminta bayaran bagi tujuan itu, pemohon perlu buat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Berikan nama dan nombor telefon selain tempat individu itu bertugas. Jika dia mendakwa daripada Bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, dapatkan jawatannya," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada penerima yang tidak mempunyai akaun bank di ruang legar Pekan Rabu di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pegawai Daerah Kluang, Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin dan Timbalan Ketua MCA Bahagian Kluang, Sim Chin Lay.

Kira-kira 1,200 penerima yang tidak mempunyai akaun bank di kawasan Parlimen Kluang menerima bantuan berkenaan.

Md Jais berkata, kerajaan membina rumah mampu milik bagi membantu rakyat memiliki rumah, dan rakyat diminta untuk tidak mempercayai peranan orang tengah bagi mendapatkan kediaman berkenaan.

"Kerajaan telus dalam urusan penjualan rumah RMMJ, namun pembabitan pihak tidak bertanggungjawab ini memberi gambaran buruk," katanya.

34 dibaca
Berita Harian X