Jumaat, 10 March 2017 | 3:58pm

117 pelajar kita ke Jepun lanjut pelajaran


KETUA Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa. - Foto Iqmal Haqim Rosman

BERANANG: Seramai 117 pelajar akan berlepas ke Jepun untuk melanjutkan pelajaran bawah Program Pengajian Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP) tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) pada 17, 19 dan 20 Mac ini.

Pelajar terbabit yang berjaya menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal serta Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik selama tiga tahun di Malaysia, akan mengikuti program ijazah sarjana muda di Jepun selama dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa, berkata pelaksanaan MJHEP adalah kerjasama strategik antara Malaysia dengan Jepun yang menyediakan akses dan peluang untuk pelajar menguasai kepakaran relevan bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi di dalam negara mahupun global.

"YPM berharap kesinambungan program ini dapat diteruskan melalui MJHEP II (2018-2032) dan terus diperluas ke negara timur lain seperti China, Korea dan Taiwan.

"Gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur akan memberi tumpuan pada bidang baharu dan terkini seperti teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, teknologi pengangkutan rel, komunikasi serta animasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada MJHEP Sotsugyou Shiki 2017 (Majlis Konvokesyen) di Institut Perindustrian MARA-Jepun di sini, hari ini.

Berita Harian X