Jumaat, 10 March 2017 | 4:05pm

Modenas Elegan 250 - Lebih besar lebih menarik


MODENAS Elegan 250. - Foto Hafiz Sohaimi

BERBICARA mengenai motosikal untuk tunggangan di kawasan bandar, maka model skuter dengan transmisi automatik (AT) pasti menjadi topik utama. Meredah laluan sesak dan lebuh raya setiap hari untuk pergi dan balik dari tempat kerja, membuat kita memerlukan sebuah skuter yang berkuasa serta selesa.

Setelah sekian lama menyepi, Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) pada akhir tahun lalu kembali dengan menampilkan dua model skuter baharu Modenas Elegan 250 dan Karisma 125, berserta Kymco Downtown 250i sempena pelantikannya sebagai pengedar rasmi jenama skuter terkemuka Taiwan Kymco.

BH Auto berpeluang menunggang uji Elegan 250 pada minggu lalu, iaitu model gantian Elegan 200 yang dilancarkan pada 2010.

Jika sebelum ini, Modenas membangunkan Elegan dengan kerjasama SYM, namun untuk model terkini ia menjalin pakatan dengan Kymco.


PAPARAN meter LCD. - Foto Hafiz Sohaimi

Susulan itu, kebanyakan peminat skuter mengharapkan Elegan 250, yang ditawarkan pada harga RM13,599 termasuk GST, menjadi model yang berbaloi untuk dibeli memandangkan spesifikasinya hampir sama Kymco Downtown 250i yang berharga RM22,790 seunit.

Perbezaan ketara antara keduanya adalah dari segi rupa bentuk dan sistem brek cegah kunci (ABS). Malah jika dibanding dengan Kawasaki J300 2016 yang berharga RM31,500, ternyata Elegan 250 lebih mampu dimiliki.

Dari segi penampilan, Elegan 250 tampak lebih besar, saiznya hampir menyamai skuter Maxi iaitu yang berkapasiti lebih 500cc. Lebih terperinci adalah ia 2,235 milimeter (mm) panjang; 810 mm lebar; 1,375 mm tinggi; 1,540 mm jarak roda dan 135 mm jarak ke tanah (tanpa beban).

Menarik perhatian pada skuter ini adalah sistem kawalan brek empat peringkat; papan pemuka atau paparan meter LCD dan lampu belakang LED yang terang.


RUANG penyimpanan yang besar. - Foto Hafiz Sohaimi

Dari segi tunggangan saiz dan tempat duduk Elegan 250 yang besar memberi keselesaan kepada penunggang dan juga pembonceng. Ia juga menyediakan ruang barangan sangat luas di bahagian bawah tempat duduk. Dua topi keledar boleh dalam satu-satu masa.

Dari segi prestasi enjin, skuter ini menggunakan enjin suntikan minyak, dengan kapasiti 249.1 cc empat-lejang, dua injap SOHC penyejukan cecair yang menjana kuasa 22.1 hp pada 7,000 rpm dan 22.4 Nm pada 6,500 rpm.

Ia bergerak harmoni dengan sistem transmisi CVT dengan nisbah mampatan 10.8:1. Kapasiti tangki minyaknya pula ialah 12.5 liter.

Penulis mencuba untuk perjalanan sederhana jauh iaitu Kuala Lumpur - Ipoh menerusi lebuh raya PLUS. Kelajuan maksimum Elegan 250 adalah 140 kilometer sejam (km/j). Selain kegunaan di bandar, BH Auto berpendapat model ini juga sesuai dan selesa untuk perjalanan jauh.

Kesimpulannya, pada harga RM13,599 termasuk GST , Elegan 250 menyediakan pakej amat menarik dan berbaloi jika dibandingkan dalam produk sama dalam kelasnya.

Spesifikasi:

Enjin: SOHC, Sejukan cecair, 4 lejang

Sesaran: 249.1cc/ 72.7mm X 60mm

Kuasa: 16.5Kw @ 7000rpm / 22.1hp

Pembakaran: Suntikan bahanapi elektronik

Transmisi: CVT

Kerangka: 2235 mm x 810 mm x 1375 mm

Jarak roda: 1,540 mm

Kapasiti tangki: 12.5 Liter

Tayar depan: 120/80-14 inci

Tayar belakang: 150/70-13 inci

Brek: Cakera FR 260 mm, Cakera RR 240 mm

Suspensi: Teleskopik,

Harga: RM13,599 termasuk GST

Berita Harian X