Jumaat, 10 March 2017 | 4:36pm

Tiada penipuan guna jari palsu - SPR


DATUK Seri Mohd Hashim Abdullah. - Foto Ghazali Kori

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan penipuan menggunakan jari palsu ketika mengundi, seperti mana didakwa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, tidak akan berlaku dalam pemilihan di negara ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan pihaknya proses pilihan raya yang dikendalikan suruhanjaya itu adalah bersih, telus dan bebas daripada sebarang penipuan atau penyelewengan.

"Ini berikutan terdapat dakwaan seorang ADUN di Selangor bahawa jari palsu diimport dari China oleh pihak tertentu untuk digunakan bagi tujuan menipu dalam pilihan raya akan datang, yang mana gambar jari palsu dan botol dakwat pilihan raya sudah menjadi viral di laman sosial.

"SPR mengambil serius dakwaan ini serta mesej yang jadi viral dan siasatan sudah mengenal pasti bahawa sumber imej ialah daripada sumber internet yang tersebar di sebuah negara jiran. 

"Namun, ia dipetik dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di negara ini melalui aplikasi media sosial bagi menimbulkan kebimbangan serta persepsi negatif. Malah ada yang membuat dakwaan bahawa ia sudah memasuki pasaran tempatan untuk digunakan dalam pilihan raya umum akan datang bagi memenangkan pihak tertentu," katanya.

Sehubungan itu, Hasim mengingatkan bahawa sebarang cubaan penipuan atau cubaan mensabotaj sistem pilihan raya di Malaysia akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas dan meminta orang ramai tidak rasa bimbang serta memberi sepenuh keyakinan selain kepercayaan kepada SPR untuk mengendalikan pilihan raya dengan adil lagi telus.

Beliau menjelaskan, sumber asal imej itu disyaki dipetik daripada laman akikofujita.com yang menyiarkan artikel tulisan Shintaro Hasyahi yang bertajuk 'Prosthetic Fingers Help Reform Former Yakuza Members' yang disiarkan pada 16 Disember 2013.

Imej itu kemudiannya digunakan oleh pihak tertentu di Indonesia yang kononnya ia akan digunakan dalam Pilihan Raya Serentak Indonesia (PILKADA) 2017 yang sedang berlangsung dan menjadi viral di laman sosial. 

"Untuk makluman semua pihak, dalam setiap pengundian semasa pilihan raya, petugas SPR akan memeriksa jari-jari pengundi terlebih dahulu bagi memastikan tiada kesan dakwat atau minyak pada jari pengundi atau sama ada mereka memakai jari palsu, sebagaimana yang menjadi viral.

"Selepas dipastikan barulah jari pengundi terbabit dicelup dengan dakwat pilihan raya dan diberikan kertas undi. SPR akan mengambil langkah yang lebih ketat dengan memeriksa jari setiap pengundi secara lebih teliti bagi memastikan tiada elemen penipuan dan cubaan mensabotaj sistem pilihan raya di negara ini," katanya. 

38 dibaca
Berita Harian X