Jumaat, 10 March 2017 | 7:20pm

Tiada kes H1N1 di KYS

PENGARAH Kesihatan Melaka, Datuk Dr Ghazali Othman. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Jabatan Kesihatan negeri mengesahkan tiada kes virus selesema babi (H1N1) membabitkan semua 425 pelajar Kolej Yayasan Saad (KYS) di Ayer Keroh, di sini.

Pengarahnya, Datuk Dr Ghazali Othman, berkata daripada jumlah 49 pelajar yang diperiksa, hanya empat daripadanya dikesan menghidap Influenza A (H3) atau selesema bermusim, manakala seorang lagi menghidap Influenza B.

"Pada 25 Februari lalu, tiga pelajar kolej berkenaan dikesan mengalami simptom demam, sakit tekak, batuk dan selesema.

PELAJAR Kolej Yayasan Saad (KYS) menjalankan aktiviti seperti biasa ketika tinjauan susulan pengesahan Jabatan Kesihatan Melaka tiada pelajar kolej berkenaan diserang virus Influenza A (H1N1) di Ayer Keroh, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Ketiga-tiga pelajar itu kemudiannya dimasukkan ke wad, bagaimanapun keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) yang diperoleh sehingga jam 3 petang tadi mendapati tiada pelajar yang dijangkiti H1N1," katanya ketika dihubungi.

Ghazali mengulas dakwaan virus H1N1 sedang merebak di KYS yang menjadi viral di media sosial.

Tinjauan BH ke kolej berkenaan mendapati pusat pengajian itu beroperasi seperti biasa.

Berita Harian X