Sabtu, 11 March 2017 | 10:49am

Trump jemput Mahmoud Abbas bincang proses damai


DONALD Trump dan Mahmoud Abbas. - Foto Reuters

WASHINGTON: Presiden Donald Trump, menjemput Mahmoud Abbas, ke Rumah Putih, kata jurucakap Presiden Palestin itu, selepas kedua-dua pemimpin berbincang menerusi telefon buat kali pertama sejak Trump memegang jawatan itu.

"Presiden Trump menyampaikan jemputan rasmi kepada Presiden Abbas untuk melawat Rumah Putih bagi membincangkan cara menyambung proses politik, menekankan komitmen kepada proses damai yang membawa kepada keamanan sebenar antara penduduk Palestin dan Israel," kata jurucakap Abbas, Nabil Abu Rdainah.

Jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer, di Washington kemudian mengesahkan Trump menjemput Abbas ke mesyuarat di Rumah Putih tidak lama lagi.

Palestin menunjukkan kebimbangan terhadap pendekatan mesra ditunjukkan Washington kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sejak Trump menjadi presiden.

Netanyahu dan Trump bercakap menerusi telefon sekurang-kurangnya dua kali sejak majlis angkat sumpah pada 20 Januari lalu dan pemimpin Israel itu melawat Washington bulan lalu.

Pegawai Palestin menyatakan Abbas akan menekankan kebimbangan mengenai pembinaan penempatan Israel di tanah yang dirampas dan keperluan mewujudkan dua negara bagi menyelesaikan konflik itu.

"Presiden Abbas menekankan komitmen kepada keamanan sebagai pilihan strategik mendirikan negara Palestin selain negara Isreal," kata Abu Rdainah, menurut agensi berita rasmi WAFA. - REUTERS

745 dibaca
Berita Harian X