Ahad, 12 March 2017 | 1:09am

Piala FA: Turaev bawa Terengganu ke suku akhir

PEMAIN Terengganu Issey Nakajima (kiri) berjaya mengelak terjahan pemain T-Team Muhammad Azalinullah dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Tandukan Lutfulla Turaev pada minit 120 membawa Terengganu ke suku akhir Piala FA selepas menundukkan T-Team 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Perlawanan terpaksa dilanjutkan pada masa tambahan selepas kedua pasukan terikat 0-0 dalam aksi permainan sebenar.

Pada minit ke-6, Issey Nakajima Farran hampir menghukum kesilapan penjaga gol T-Team, Muhammad Izzuddin Muhamat Hussin, namun sepakannya tidak tepat ke gawang.

Giliran skuad The Titans mencemaskan pintu gol skuad Penyu menerusi percubaan Dilshod Sharofetdinov tepat ke dakapan penjaga gol, Muhamad Syazwan Yusoff pada minit 14.

Kedua pasukan saling melakukan serangan, namun buntu menemui sentuhan jaringan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, gawang Terengganu cemas menerusi rembatan Farhod Tadjiev, tapi berjaya ditepis Muhamad Syazwan minit 49.

Pada minit ke-63, T-Team terpaksa bermain 10 pemain selepas Muhammad Azalinullah Mohammed Alias diperintah keluar padang kerana mengutip dua kad kuning.

Tuan rumah memiliki peluang hasil hantaran lintang Mohamad Kamal Azizi Mohd Zabri yang menuju ke gawang sebelum ditepis keluar Muhamad Syazwan minit ke-65.

Bagaimanapun, perlawanan dicemari insiden layangan kad merah terhadap pertahanan Terengganu, Mohd Firdaus Mohd Faudzi minit ke-68.

Pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abd Wahad turut mengarahkan dua pegawai T-Team keluar dari tempat duduk pemain selepas memasuki padang kerana memprotes.

Sehingga tamat permainan sebenar 90 minit, kedua pasukan masih buntu menjaringkan gol sehingga bermain dalam masa tambahan mencari pemenang.

Berita Harian X