Ahad, 12 March 2017 | 1:31pm

Jumlah pelancong Arab Saudi dijangka meningkat


MOHD Nasir Kushairi (dua dari kiri) ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC), di Riyadh hari ini. - Foto ITBM

RIYADH: Jumlah kehadiran pelancong Arab Saudi ke Malaysia dijangka meningkat sebanyak lima peratus pada tahun ini.

Ia hasil lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia baru-baru ini.

Pengarah Luar Negara/Konsul Tourism (KSA, Levant, Yaman dan Afrika Utara), Mohd Nasir Kushairi, berkata hubungan baik kedua-dua negara memberi keyakinan kepada rakyat negara Asia Barat untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Beliau berkata, jumlah pelancong Arab Saudi yang berkunjung ke Malaysia pada tahun lalu adalah sebanyak 123,878 pelancong berbanding 99,754 pada tahun sebelumnya.

"Secara puratanya, pelancong Arab Saudi berada di negara kita selama dua minggu ke atas dan akan berbelanja sekitar RM10,000 setiap seorang.

"Ini memberi manfaat kepada sektor pelancongan, sekali gus menjana ekonomi negara," katanya ketika ditemui media di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC) di sini, hari ini.

Tourism Malaysia turut menyertai RIBF 2017 yang menyaksikan Malaysia menjadi Negara Tetamu Kehormat yang turut menampilkan pelbagai agensi seperti Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain penerbit universiti dan swasta.

"Tourism Malaysia akan meningkatkan promosi pelancongan khususnya ke Sabah dan Sarawak yang masih kurang dikenali oleh pelancong Arab Saudi," katanya.

Justeru, beliau memohon kerajaan negeri memanfaatkan peluang bekerjasama dengan pejabat Tourism Malaysia di Jeddah dalam mempromosikan produk pelancongan negeri.

Raja Salman mengetuai delegasi 600 anggota ke Malaysia dalam lawatan negara yang bermula pada 26 Februari hingga 1 Mac lalu.

Lawatan itu menyaksikan tujuh memorandum persefahaman (MoU) dianggarkan bernilai RM9.74 bilion, ditandatangani antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi yang merangkumi pelbagai sektor termasuk pembinaan, kerjasama halal, aeroangkasa dan urusan haji.

Kunjungan bersejarah ke Malaysia itu juga sebahagian lawatan selama sebulan ke negara di Asia termasuk Indonesia, Brunei Darussalam, Jepun, China, Maldives dan Jordan.

Berita Harian X