Ahad, 12 March 2017 | 10:22pm
IDRIS Khan. -Foto Rohanis Shukri
KUALA LUMPUR 21 FEBRUARY 2017. Pelakon Idtis Khan pada pelancaran mesin laser Picoway. NSTP/ROHANIS SHUKRI.ROHANIS SHUKRI

Kekasih tak kisah gosip landa Idris Khan

KUALA LUMPUR: Pelakon, Idris Khan, 29, mendedahkan kekasihnya enggan ambil pusing berkenaan gosip mahu pun kontroversi membabitkan dirinya.

Katanya, gadis berasal dari Maghribi, Sanaa Jaffer, 25, yang dikenali hampir setahun lalu itu juga maklum mengenai risiko terbabit dalam dunia hiburan, yang membuka ruang kepada penggiatnya terkena tempias khabar angin.

"Dia semakin memahami kerjaya saya. Kami boleh berbincang apa saja, malah dia juga seorang gadis yang berfikiran terbuka. Jadi, apabila timbul gosip, dia lebih selesa tidak masuk campur kerana antara kami saling mempercayai.

"Sebagai insan paling rapat, dari awal dulu saya sudah jelaskan kepadanya situasi bekerja dalam bidang ini. Saya juga pernah membawanya ke lokasi penggambaran supaya dia tahu suasananya," katanya ketika ditemui BH Online, hari ini.

Pemilik nama sebenar Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan itu antara selebriti yang memeriahkan Siri Jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) di ibu kota, yang juga lokasi terakhir selepas Pahang dan Johor.

Sebelum ini, aktor yang turut dicalonkan dalam DFKL 2017 dalam kategori Pelakon Antagonis itu pernah menyuarakan hasrat mahu menamatkan zaman solo dengan gadis terbabit dalam tempoh setahun atau dua lagi.

Kata Idris, perbezaan budaya bukan satu isu buat kedua-duanya, malah kekasihnya juga sudah diperkenalkan kepada keluarga, manakala ibu bapa si gadis sedia maklum mengenai hubungan serius mereka.

"Tiada masalah pun dari segi budaya atau bahasa kerana dia belajar di sini. Sebenarnya, dia boleh berbahasa Inggeris dan Perancis. Bahasa Melayu pun sudah hampir dikuasainya. Saya juga ada mengajarnya sikit-sikit, termasuk makan makanan tempatan," ulasnya lagi.

Tidak melihat perkahwinan akan membataskan peluang lakonan, bintang Mr Donut Karamel itu yakin, semua pihak terutama penonton dan syarikat produksi lebih mengutamakan bakat, bukan status seseorang pelakon.

Berita Harian X