Isnin, 13 March 2017 | 12:00am

Molluscure TM nyah logam berat pada spesies moluska

AHMAD turut melawat hasil inovasi sempena Majlis Pelancaran Molluscure di Ayer Baloi.
AHMAD turut melawat hasil inovasi sempena Majlis Pelancaran Molluscure di Ayer Baloi.

KUALA LUMPUR: Sekumpulan lima penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghasilkan inovasi dikenali sebagai Molluscure TM bagi membantu nelayan menyingkirkan logam berat pada hasil laut bercangkerang yang ditangkap.

Ketua Penyelidik kumpulan itu, Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff, berkata Molluscure adalah sistem yang dibangun untuk mengenyahkan logam berat pada spesies moluska seperti kerang, kupang dan tiram supaya menepati piawaian dibenarkan.

Beliau berkata, inovasi itu mampu menyingkirkan hingga 98 peratus logam berat, termasuk plumbum, kuprum, nikel dan kadmium.

"Prototaip Molluscure TM boleh diguna untuk membersihkan 700 kilogram (kg) cangkerang dalam masa dua jam setengah, sekali gus menyingkirkan logam berat yang ada pada hasil laut itu.

SISTEM Molluscure membantu nelayan menyingkirkan logam berat pada hidupan laut bercangkerang yang ditangkap.
SISTEM Molluscure membantu nelayan menyingkirkan logam berat pada hidupan laut bercangkerang yang ditangkap.

Penyelidik berpengalaman

"Projek ini dijayakan bersama empat penyelidik berpengalaman, iaitu Prof Dr Wan Azelee Wan Abu Bakar, Prof Madya Dr Razali Ismail, Dr Faizuan Abdullah dan Ihsan Wan Azelee," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Molluscure TM yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, di Ayer Baloi, Pontian, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, serta Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM, Prof Dr Amran Md Rasli.

Prof Abdull Rahim berkata, pembangunan inovasi itu dimulakan pada 2011 melalui kajian bawah Geran Universiti Penyelidikan (Tier 1) bertajuk 'Sustainability Factors for Spawning and Growth of the Green Mussel at Danga-Pendas Straits'.

AHMAD turut melawat hasil inovasi sempena Majlis Pelancaran Molluscure TM di Ayer Baloi.
AHMAD turut melawat hasil inovasi sempena Majlis Pelancaran Molluscure TM di Ayer Baloi.

Bangunkan prototaip

Katanya, kajian itu kemudian diteruskan bawah Geran Universiti Penyelidikan (Tier 2) bertajuk 'Enhancement of Lysosomal Integrity for Heavy Metals Removal in Green Mussel Using Nanobubble Treatment'.

Beliau berkata, pembangunan prototaip sistem itu menerima tajaan berjumlah RM50,000 daripada Pusat Inovasi dan Pengkomersialan UTM dan diguna untuk menjalankan kajian bersama Institut Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan.

"Hasil penyelidikan ini memenangi pingat emas serta Anugerah Reka Cipta Interaktif pada Pameran Teknologi dan Seni Industri (INATEX) 2012, selain meraih kejayaan pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2013 anjuran Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS).

"Molluscure TM turut dipilih sebagai projek bawah Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) bagi mendedahkan teknologi ini kepada nelayan penternak spesies moluska yang berpotensi pasaran luas," katanya.

AHMAD turut melawat hasil inovasi sempena Majlis Pelancaran Molluscure TM di Ayer Baloi.
AHMAD turut melawat hasil inovasi sempena Majlis Pelancaran Molluscure TM di Ayer Baloi.

INFO

Sistem Molluscure TM

  • Mengenyahkan logam yang ada pada spesies moluska seperti kerang, kupang dan tiram supaya menepati piawaian dibenarkan
  • Mampu menyingkirkan hingga 98 peratus logam berat, termasuk plumbum, kuprum, nikel dan kadmium
  • Prototaip boleh diguna untuk membersihkan 700kg cangkerang dalam masa dua jam setengah

Berita Harian X