Isnin, 13 March 2017 | 2:41pm

Undang-undang baharu lindungi kanak-kanak - PM

KUALA LUMPUR: Undang-undang baharu merangkumi pelbagai kesalahan jenayah 'persediaan seksual' dan pornografi kanak-kanak akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kewujudan undang-undang baharu itu adalah selaras hasrat kerajaan untuk menyertai Konvensyen Mengenai Jenayah Siber yang menetapkan pornografi kanak-kanak sebagai satu kesalahan.

"Oleh itu, saya berharap semua Ahli Parlimen akan menyokong Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 ini, tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

"Usaha ini perlu dilaksanakan bagi melindungi masa depan generasi pelapis dan memberi mesej lantang bahawa jenayah seksual kanak-kanak adalah kesalahan besar," katanya pada ucaptama merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!, di sini sebentar tadi.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap ketika merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Sairien Nafis
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap ketika merasmikan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Sairien Nafis

Yang turut hadir, Presiden Indonesia Kelima, Megawati Soekarnoputri; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Penaung Program Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata, kerajaan turut bercadang untuk mewujudkan Mahkamah Jenayah khas bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual kanak-kanak yang menjadi mangsa pelaku kegiatan tidak bermoral.

"Perlu difahami bahawa Mahkamah Jenayah Khas ini berbeza dengan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada yang hanya mengendalikan kes di mana pelaku jenayah adalah kanak-kanak.

"Kewujudan Mahkamah Jenayah khas ini akan membantu melindungi kanak-kanak secara holistik, sekali gus mempercepat dan melancarkan prosiding serta perbicaraan kes membabitkan golongan ini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X