Isnin, 13 March 2017 | 6:30pm

Punca aliran serangan seksual kanak-kanak meningkat

DARI kiri: Dr Mohammad Rahim; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof; Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Dr Geshina Ayu Mat Saat dan Dr Suzaily pada Seminar Jenayah Seksual Kanak - Kanak: Hentikan!! di PWTC, hari ini. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Tiga elemen mempengaruhi aliran serangan seksual dalam kalangan kanak-kanak di negara termasuk akses mudah terhadap perkembangan pesat media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Elemen itu ialah akses mudah, peluang dan kelemahan yang digunakan penjenayah siber yang biasa menyembunyikan identiti, menggunakan media sosial sebagai platform di laman internet.

Aliran serangan seksual ini itu juga akan berubah kepada pelaku asing berbanding individu dikenali menerusi medium sama.

Pensyarah Kanan dan Pakar Kriminologi Forensik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Rahim Kamaluddin, berkata pendedahan awal dalam kalangan kanak-kanak negara ini terhadap gajet dan komputer pada usia masih kanak-kanak lagi memudahkan mereka terjebak dengan jenayah siber.

"Penjenayah memiliki taktik tertentu seperti bertanya khabar kepada mangsa, sebelum membina hubungan lebih intim dengan 'buat-buat tidak sengaja' menghantar imej berbau lucah kepada mangsa, "katanya dalam kertas kerja bertajuk modus operandi Seksual Kanak-kanak - Pendekatan, Taktik dan Hasilan, di sini, hari ini.

Dr Mohammad Rahim berkata, pelaku seksual itu akan memberikan ganjaran yang meyakinkan seperti memperkuatkan kasih sayang palsu, hadiah dan meminta perbualan sembang antara mereka dirahsiakan daripada ibu bapa.

Sehubungan itu, katanya, penjenayah berkenaan akan mengambil kesempatan pada kanak-kanak yang naif, menunjukkan minat dan mereka beremosi lemah

"Ini adalah sebahagian taktik persiapan awal ke atas kanak-kanak yang berpotensi, " katanya.

Faktor budaya

Sementara itu, Pakar Psikiatri Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Dr Suzaily Wahab, berkata masyarakat kurang membicarakan mengenai penderaan seksual kerana faktor budaya berbanding masyarakat Barat sekali gus memberikan impak psikologi lebih serius.

"Dari pengalaman saya dalam menjalankan kajian, ia bukan sesuatu yang mudah dan banyak faktor yang yang perlu dihadapi penyelidik dan persediaan dilakukan untuk menemuramah mangsa.

"Justeru, dapatan penyelidikan adalah umum, berkisar kepada tahap dan jenis penderaan seperti ada penetrasi atau tiada sentuhan, pertalian dalam keluarga dan tempoh penderaan yang dilihat pada sudut menyeluruh," katanya.

Mengulas mengenai impak jenayah seksual terhadap mangsa, Dr Suzaily berkata, ia memberi impak jangka pendek dan panjang, tetapi yang perlu dititikberatkan ialah pelan perawatan yang tepat.

"Apa yang perlu dititikberatkan adalah pelan perawatan mangsa penderaan seksual kanak-kanak untuk meminimumkan kesan jangka panjang kerana ia tidak berakhir dengan penangkapan pendera, tetapi rawatan kepada mangsa perlu diteruskan.

"Proses penyembuhan yang sempurna bagi mangsa memerlukan sokongan yang berterusan dan tidak berbelah bagi dari semua pihak," katanya.

Berita Harian X