Isnin, 13 March 2017 | 7:03pm

Pertambahan ketara penumpang punca tandas kotor


TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Temasya Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia Airports yang diwakili, pengarah urusannya, Datuk Badlisham Ghazali (kanan) dengan Malaysian Organising Commitee (MASOC) yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali (tiga dari kiri) bagi Sukan SEA ke - 29 dan Para ASEAN ke - 9 Malaysia (Kuala Lumpur 2017) di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail.

PUTRAJAYA: Penambahan ketara jumlah penumpang di KLIA dan klia2 menjadi antara faktor tandas di dua lapangan terbang berkenaan tidak dapat diselenggara untuk sentiasa berada pada tahap terbaik.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali, berkata pertambahan lima juta penumpang tahun lalu termasuk menjadi pusat transit jemaah umrah dari negara lain menjadi antara punca tandas di lapangan terbang berkenaan kotor.

Sebagai jalan penyelesaian, MAHB memutuskan untuk menaik taraf semua tandas di KLIA di mana kerja berkaitan sudah dimulakan sejak dua minggu lalu dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

"Sebanyak 67 tandas di KLIA akan dibaik pulih dan dinaik taraf secara berperingkat, ..setakat ini tiga tandas di laluan domestik sudah pun menjalani proses itu.

"Malah, kita turut mengambil peluang ini untuk memperbesarkan tandas wanita di mana kita akan mencantumkan tandas wanita dan lelaki menjadikannya tandas wanita sahaja," katanya pada Majlis Menandatangani Penajaan Kementerian Belia dan Sukan bersama MAHB, di sini hari ini.

Badlisham berkata, bagi klia2 pula pihaknya merancang untuk menjadualkan penerbangan umrah di satu kawasan khas berasingan yang mempunyai kemudahan bilik air dan tempat mengambil wuduk.

Selain itu, katanya, MAHB juga akan meminta kontraktor yang dilantik untuk menambah bilangan tukang cuci di setiap bilik air di lapangan terbang berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 13 Februari lalu, menerusi catatan di laman Twitter miliknya meminta pihak pengurusan KLIA menjaga tahap kebersihan tandas awam bagi memastikannya seiring tahap piawaian antarabangsa.

Semalam, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi mahu MAHB meningkatkan pemantauan terhadap kebersihan tandas di lapangan terbang di negara ini terutama di klia2 kerana ia kurang memuaskan.

Ab Aziz berkata, saranan berkenaan menyusuli pemeriksaan mengejut oleh pihaknya selama tiga jam yang mendapati tandas di klia2 kotor dan pekerja yang ditugaskan untuk mencuci tandas berkenaan dilihat bermain telefon.

Berita Harian X