Isnin, 13 March 2017 | 7:47pm

Rosyam terbit siri mini bantu usahawan muda


Datuk Rosyam Noor. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit Rosyam Nor menyifatkan ramai usahawan kurang pengetahuan mengenai pemberian insentif dan bantuan perniagaan yang disediakan kerajaan.

Berikutan itu, syarikat produksinya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, dengan kerjasama SME Corp Malaysia menerbitkan drama mini bersiri, Chor & Chah, sebagai kit panduan buat usahawan baharu di Malaysia.

Rosyam berkata, walaupun drama berkenaan penuh dengan pengisian informasi panduan perniagaan, namun maklumat disampaikan dengan bersahaja, seperti drama komersial sedia ada.

"Pihak SME mahu menerbitkan rancangan yang penuh informasi mengenai program dan bantuan yang disediakan. Mereka melihat drama mampu menjadi antara saluran terbaik untuk tujuan berkenaan.

"Menariknya, drama ini bukan memberi informasi semata-mata, tetapi ia tampil dengan plot cerita yang tidak membosankan.

"Cara ini bukan saja menarik, tetapi penonton juga akan mendapat maklumat tepat bagi memulakan perniagaan dengan mudah," katanya kepada BH Online.

Drama mini 12 episod itu akan disiarkan menerusi platform media sosial iaitu di laman Youtube, Facebook, Instagram dan Twitter.

Rosyam berkata, konsep siaran di laman sosial pada masa kini dilihat sebagai kaedah terbaik kerana drama berkenaan menyasarkan penonton daripada golongan muda.

"Sasaran drama ini tertumpu pada belia yang jarang menonton televisyen, sebaliknya hanya mencari maklumat menerusi telefon bimbit masing-masing.

"Jadi, pihak kami menganggap siaran di media sosial adalah bertepatan dengan sasaran penonton," katanya.

Chor & Chah, yang bakal memulakan penggambaran Mei depan, akan menampilkan barisan pelakon seperti Saharul Ridzwan, Ummi Nazeera, Hafreez Adam dan Luqman Hafidz.

Berita Harian X