Isnin, 13 March 2017 | 8:12pm

Siti Nurhaliza sertai Yayasan PINTAR


SITI Nurhaliza pada majlis pelantikan dirinya sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PINTAR di ibu kota, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menyifatkan pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PINTAR dapat memberikan lebih ruang dan peluang menabur bakti serta berkongsi ilmu bersama golongan pelajar.

Siti berkata, sebagai mewakili golongan seniman, tugasnya lebih kepada memupuk bakat seni yang ada dalam diri golongan terbabit dan membantu mengembangkannya mengikut saluran betul.

"Mereka menawarkan Siti untuk menjadi ahli lembaga pemegang amanah yayasan berkenaan sekitar penghujung tahun lalu. Siti terima tawaran berkenaan kerana objektifnya yang positif, iaitu mempromosi kebijaksanaan, memupuk bakat dan juga pembinaan sahsiah diri.

"Selain Siti yang mewakili golongan karyawan seni, pereka fesyen terkenal, Datuk Bernard Chandran, turut dilantik bagi mewakili industri berkenaan.

"Tugas Siti adalah untuk membantu golongan pelajar, terutamanya dalam memperkembangkan bakat seni mereka dan memberikan inspirasi untuk golongan berkenaan," katanya kepada BH Online.

Pengumuman pelantikan Siti dilakukan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PINTAR, Tan Sri Arshad Ayub, dalam satu majlis diadakan di Mercu UEM, KL Sentral, di sini, hari ini.

Antara program berkaitan yang sudah pun dijalankan oleh yayasan berkenaan adalah bengkel Program Action Song yang antara lain bertujuan membina keyakinan pelajar terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran mereka.

Berita Harian X