Isnin, 13 March 2017 | 8:27pm

GAPENA bantah UEC dibawa ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) berkata keputusan membawa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Parlimen akan merosakkan aspirasi pembentukan negara dan sistem pendidikan kebangsaan.

Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan, berkata sijil UEC untuk sekolah aliran Cina tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan.

"UEC tidak harus diiktiraf kerana negara kita sudah mempunyai sistem pendidikan yang mantap dan diiktiraf di dalam negara serta di peringkat antarabangsa.

"Justeru, GAPENA berpendirian tegas membantah tindakan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa untuk membawa usul perseorangan dalam isu pengiktirafan UEC ke Parlimen," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa yang disiarkan beberapa akhbar tempatan berbahasa Inggeris pada 11 Mac.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menegaskan menolak untuk mengiktiraf UEC kerana tidak selaras dengan kehendak Dasar Pendidikan Kebangsaan seperti diperuntukkan Akta Pendidikan 1996.

Bagaimanapun, Annuar yang juga Pengerusi MARA pada Januari lalu menyarankan pelajar lulusan UEC memohon masuk ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kerana universiti swasta itu mengiktiraf mereka sebagai pelajar antarabangsa.

Selain itu, Annuar dilaporkan berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) diterima baik dalam sistem pendidikan di negara ini sejak sekian lama.

Bagaimanapun, tindakan beliau disanggah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan UniKL tidak mengiktiraf UEC kerana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, kerajaan komited menyelesaikan isu pengiktirafan sijil berkenaan dan Kementerian Pendidikan akan menjalankan kajian mengenainya.

Berita Harian X