Isnin, 13 March 2017 | 8:51pm

RUU lindungi kanak-kanak perlu sokongan semua

PENGARAH Kanan Advokasi dan Capaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia SKMM), Eneng Faridah Iskandar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Datuk Othman Said, Pegawai Polis Jenayah Seksual Kanak-Kanak, DSP Saroja Egamparam dan Wartawan The Star, Maryam Zainol pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak :Hentikan!! di PWTC. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang akan dibentang di Dewan Rakyat bulan ini, wajar mendapat sokongan penuh semua Ahli Parlimen tanpa mengira perbezaan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata cadangan undang-undang baharu itu memenuhi keperluan isu semasa berhubung penderaan seksual kanak-kanak secara menyeluruh.

"Saya harap RUU ini dapat dibahas dan diluluskan dengan sokongan penuh semua Ahli Parlimen," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan undang-undang baharu itu merangkumi pelbagai kesalahan jenayah termasuk 'persediaan seksual' dan pornografi kanak-kanak akan dibentangkan di Parlimen.

Azalina berkata, penubuhan Mahkamah Jenayah Khas akan memberi peluang pelbagai pihak bekerjasama mencari pendekatan bagi menangani isu terbabit.

"Pengumuman Perdana Menteri itu adalah langkah proaktif kerajaan bagi memastikan tiada penjenayah seksual terlepas daripada hukuman.

"Kita tidak boleh berkompromi dalam isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak," katanya yang turut menghadiri `Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!' di sini, hari ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X