Selasa, 14 March 2017 | 11:35am

Florida perketat undang-undang hukuman mati

PENGARAH Eksekutif Pusat Maklumat Hukuman Mati, Robert Dunham. - Foto Reuters
PENGARAH Eksekutif Pusat Maklumat Hukuman Mati, Robert Dunham. - Foto Reuters

FLORIDA: Gabenor Florida hari ini menandatangani arahan bagi mengetatkan undang-undang negeri yang memerlukan cadangan sebulat suara juri sebelum hakim boleh menjatuhkan hukuman mati.

Undang-undang itu adalah usaha terbaru negeri ini untuk mengembalikan semula proses hukuman mati, yang ditangguhkan dua kali tahun lalu selepas keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan Mahkamah Agung Florida dalam kes-kes yang berasingan.

"Undang-undang itu menetapkan standard berkanun yang jelas bagaimana hukuman mati boleh diguna pakai di Florida," kata Pengarah Eksekutif Pusat Maklumat Hukuman Mati, Robert Dunham.

Peraturan yang ditandatangani Gabenor Republikan Rick Scott itu, menjadikan Florida negeri AS terkini membenarkan hukuman mati dikenakan hanya selepas cadangan sebulat suara oleh juri.

Hanya Alabama masih membenarkan hakim menjatuhi hukuman mati tanpa persetujuan sebulat suara juri, kata Dunham.

Kini, terdapat 382 banduan di penjara Florida yang dijatuhi hukuman mati.

Memandangkan proses rayuan hukuman mati boleh mengambil masa sehingga beberapa dekad, ada yang sudah dijatuhi hukuman mati sejak 1970-an lagi. - Reuters

Berita Harian X