Selasa, 14 March 2017 | 3:39pm

Buaya ganas baham pelajar belum ditangkap


Seekor buaya sepanjang 3.5 meter yang ditangkap di Sungai Peking selepas serangan pertama di situ baru-baru ini.

MIRI: Usaha memburu buaya yang menyerang seorang pelajar perempuan di Sungai Peking, Bakong, dua minggu lalu, masih belum mendatangkan hasil, walau pun beberapa ekor reptilia bersaiz kecil sudah pun ditangkap pihak berkuasa berkaitan.

Antara ditangkap seekor buaya sepanjang 3.5 meter yang memakan umpan dipasang kakitangan Jabatan Hutan Sarawak tidak jauh dari lokasi serangan.

Bagaimana pun, buaya itu disahkan bukan reptilia yang menyerang mangsa kerana saiz agak kecil tidak seperti yang didakwa penduduk di situ.

Ketua Polis Daerah (KPD) Baram, Deputi Supritanden Gabriel Risut, berkata operasi memburu buaya itu bermula pagi 7 Mac lalu dan masih diteruskan sehingga sekarang.

Beliau berkata, pasukan operasi memburu buaya ganas itu dibahagi kepada dua kumpulan yang telah bergerak dari hulu sungai menghala ke hilir Sungai Peking.

"Pasukan itu turut disertai oleh pegawai dan kakitangan JHS serta penduduk kampung," katanya hari ini.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu terdapat tiga daripada sembilan umpan dipasang sudah hilang, dipercayai dimakan oleh reptilia ganas itu.

Bangkai buaya sepanjang 3.5 meter yang ditangkap baru-baru ini dibawa ke pangkalan Rumah Jampang Kantan dan hasil penelitian dibuat JHS, mendapati buaya jantan itu bukan buaya menyerang mangsa, Agnes Luang.

Agnes, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi, maut di baham buaya ketika bersama ibunya selepas mandi di Sungai Tapang, Peking pada jam 5.15 petang, 21 Februari lepas.

Usaha memburu buaya ganas itu dilakukan atas permintaan penduduk rumah panjang yang mahu mencari dan mengesan buaya yang makan umpan hilang dipasang di sepanjang sungai berkenaan.

Berita Harian X