Selasa, 14 March 2017 | 6:04pm

Bukan salah kami Beauty and The Beast ditangguh - LPF

TAYANGAN filem Beauty and The Beast, yang sepatutnya ditayangkan Khamis ini, ditangguhkan. - Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Lembaga Penapisan Filem (LPF) berharap tiada pihak menyalahkan badan berkenaan ekoran tayangan filem Beauty and The Beast, yang sepatutnya ditayangkan Khamis ini, ditangguhkan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, berkata pihaknya hanya membuat sedikit suntingan kerana filem terbabit mempunyai unsur LGBT selain memberikannya klasifikasi P13.

"Pihak kami meluluskan (Beauty and The Beast) sebenarnya. Tiba-tiba ia ditangguh dan LPF pula dipersalahkan.

"LPF cuma membuat potongan pada adegan homoseksual di mana watak seorang lelaki cuba memikat lelaki lain. Berdasarkan nyanyian dan ekspresi wajah, ia dilihat kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Potongan dibuat juga sedikit saja, hanya lima minit daripada dua jam durasi keseluruhan filem berkenaan," katanya kepada BH Online.

Filem Beauty and The Beast tiba-tiba mencetuskan kontroversi apabila pengarahnya, Bill Condon, memberitahu majalah Attitude, watak Le Fou lakonan Josh Gad ialah seorang lelaki gay.

Kemudian, seorang Ahli Parlimen Russia turut menggesa ia diharamkan tayangannya di negara itu. Namun, pihak Kementerian Kebudayaan negara terbabit mengizinkan ia ditayangkan dengan rating 16+.

NOTIS berkaitan penangguhan filem Beauty and the Beast di sebuah pawagam di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto AFP

Tegas Abdul Halim, pihaknya tidak bertanggung jawab dalam soal pemilihan tarikh dan lokasi pawagam bagi tayangan filem terbitan Disney itu.

"Pihak kami hanya mengambil perhatian terhadap isi kandungan sesebuah karya, sama ada ia diluluskan untuk tayangan kepada umum atau pun tidak.

"Selebihnya ia bergantung kepada pihak pengedar filem dan pengusaha pawagam untuk memilih tarikh tayangannya," ujar Abdul Halim lagi.

Hingga saat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Disney berhubung penundaan tarikh tayangan filem berkenaan.

Beauty and The Beast menampilkan pelakon utama seperti Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens (Beast) dan Luke Evans (Gaston).

Berita Harian X