Selasa, 14 March 2017 | 10:02pm

Perolehan syarikat BioNexus diramal naik 20 peratus

PROF Tan Sri Zakri Abdul Hamid. - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Bioeconomy Development Corp menjangka perolehan syarikat berstatus BioNexus naik 20 peratus menjelang 2020.

Pengerusinya, Tan Sri Zakri Abdul Hamid berkata syarikat mencatatkan perolehan lebih RM1.18 bilion sehingga suku ketiga 2016 berbanding RM1.1 bilion pada tempoh sama pada 2015.

"Syarikat menyasarkan meningkatkan jumlah syarikat BioNexus kepada lebih 300 syarikat pada tahun ini," katanya ketika pelancaran Hari Bioekonomi di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Zakri berkata terdapat 278 syarikat BioNexus sehingga pada suku keempat 2016.

BioNexus adalah status khas yang diberikan kepada syarikat bioteknologi Malaysia dan antarabangsa yang layak.

Status tersebut melayakkan syarikat bagi insentif fiskal, bantuan pembiayaan dan jaminan lain untuk membantu syarikat dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, Abu Bakar berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, model bioekonomi Malaysia akan menyepadukan keseluruhan pendekatan rantaian nilai dalam semua program dan inisiatifnya.

"Ini termasuk Program Transformasi Bioekonomi, Program Status BioNexus dan Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP)," katanya.

Ia termasuk 61 projek pencetus diterajui Bioeconomy Development Corp, menyediakan lebih 26,500 peluang pekerjaan dan pelaburan terkumpul lebih RM18.6 bilion pada 2020.

Beliau berkata projek berimpak tinggi yang menyasarkan untuk menjana jumlah pendapatan negara kasar sebanyak RM6.2 bilion, akan menyumbang ke arah ekonomi modal, membawa negara lebih hampir kepada status negara maju.

Selain itu, projek BCDP akan memacu pembangunan sosial ekonomi rakyat, meningkatkan pendapatan isi rumah kumpulan B40. Pada masa ini, ada 28 projek dilaksanakan dalam pelbagai peringkat.

"Projek BCDP dijangka mewujudkan pendapatan bulanan tambahan sebanyak RM4,500 bagi setiap petani," katanya.

Edisi keempat Hari Bioekonomi, yang menarik 500 peserta, bertujuan mewujudkan peluang bagi sektor awam dan swasta untuk meningkatkan industri berasaskan bio, pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta menggalakkan pertumbuhan bioekonomi negara. - BERNAMA

Berita Harian X