Rabu, 15 March 2017 | 12:07am

Aisya mahu dikenali kerana bakat, bukan populariti

KUALA LUMPUR: Bakat pelakon bertubuh genit, Aisya Hasnaa, 26, sebagai artis pelapis mampu menggegar dunia seni andai kena cara dan langkah diatur.

Ini kerana adik kepada chef selebriti, Anis Nabilah ini bukan sekadar memiliki skil lakonan bersahaja, malah mampu menyanyi dan menjadi pengacara yang petah.

Bagaimanapun, hingga kini, tuah dan rezeki untuk lebih menyinar dalam dunia seni belum tiba, apatah lagi apabila ada syarikat produksi dikatakan meletakkan syarat artis perlu memiliki pengikut yang ramai di laman sosial sebagai kriteria ditawarkan peluang berlakon. Lantas, ia menyebabkan pintu rezeki bakat baharu tersekat.

Aisya yang mengaku belum berupaya mengumpul pengikut yang ramai di laman sosial akur dan tidak mampu berbuat apa-apa. Aisya sekadar mempertaruhkan bakat dan berdoa dirinya popular.

Namun, Aisya yang mula berlakon pada tahun 2012, enggan terbawa-bawa dengan situasi itu. Tiada apa yang boleh dilakukannya untuk mengubah perkara itu. Malah, Aisya yang kali pertama membintangi drama Romi Cinta Julia berganding dengan Saharul Ridzwan, sudah menerima hakikat itu.

"Hal ini bagai sudah klise. Secara jujur, saya sudah menerima hakikat ini. Mula-mula dulu, saya ada mempersoalkan isu jumlah pengikut laman sosial sebagai kriteria tawaran job (kerja).

SOAL kualiti lakonan menjadi prasyarat dalam memastikan kelangsungan karier dalam dunia seni. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

AISYA mempertaruhkan bakat dan berdoa dirinya popular. - Foto Instagram @aisyahasnaa

"Ketika itu, saya tak faham permainan dan sepak terajang dunia hiburan. Tapi lama kelamaan, saya mula melupakan hal itu. Saya percaya ini semua berbalik kepada soal rezeki," katanya.

Bagi dirinya, soal kualiti lakonan menjadi prasyarat dalam memastikan kelangsungan karier dalam dunia seni.

"Semua yang bergiat dalam industri nampak apa yang mereka mahu, tetapi belum tentu yang diharapkan itu akan dapat.

"Macam sesetengah penerbit, mahu saya penuhi syarat tertentu, tapi semua itu tiada. Tapi saya okay. Bagi saya, kualiti yang harus datang dulu," katanya.

Berbekalkan keyakinan diri dan menyerahkan soal itu kepada nasib, Aisya beri tumpuan kepada bakat dimiliki.

"Kalau ada produksi percaya bakat saya bukan diukur daripada ramai jumlah pengikut, saya bersyukur. Jika sebaliknya, saya reda dan tak boleh berbuat apa-apa. Bukan sasaran sayapun nak jadi popular. Saya nak kongsi dan perjuangkan bakat yang ada," katanya.

AISYA mengaku belum berupaya mengumpul pengikut yang ramai di laman sosial. - Foto Instagram

SELAIN lakonan, Aisya juga mampu menyanyi dan menjadi pengacara. - Foto Instagram @aisyahasnaa

Bintang Hollywood dapat layanan adil

Aisya turut menyifatkan kecenderungan segelintir produksi menawarkan peluang berlakon berdasarkan jumlah pengikut artis sebagai tidak sihat.

"Ini tidak sihat. Di Hollywood, artis yang mempunyai kelompok peminat yang ramai tak semestinya ada berjuta-juta pengikut di laman sosial. Namun, bakat mereka masih diketengahkan," katanya.

Seperkara lagi, kata Aisya, soal bakat dan populariti berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial, perlu seimbang.

"Seperti di Malaysia, saya belum nampak keseimbangan itu. Perlu ada fokus di mana kerja seni yang perlu mengutamakan kualiti dan ukuran pengikut di laman sosial.

"Saya sedar soal populariti itu normal, cuma kena ada caranya. Jika pengarah atau penerbit mahu bikin cerita 'art' (karya seni), susahlah kalau hanya ambil orang yang popular semata-mata," katanya.

Tegasnya, apa yang diluahkan adalah pemerhatian dirinya selama ini.

"Saya mengaku belum cukup bagus untuk bercakap hal ini. Kawan saya sendiri berdepan senario sama. Mereka bagus dan ada bakat hebat, tapi tak ada tawaran kerja hanya kerana jumlah pengikut laman sosial tidak ramai. Tak sampai sejuta.

"Ia situasi yang cukup menyedihkan. Ia realiti," katanya.

PELAKON, Aisya Hasnaa. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Percaya hikmah album sulung gagal

Dalam perkembangan lain, Aisya yang membintangi teater Mencari Sumaiyah rancak mempromosikan single terbaharunya berjudul Usah Ditanya yang dicipta Dj Fuzz dengan lirik nukilan Amzah Viral.

Dunia nyanyian bukan asing bagi Aisya kerana pernah menghasilkan album solo pada tahun 2011.

"Saya kembali menyanyi kerana minat kepada dunia ini sudah sebati dan menebal. Nyanyian umpama cinta pertama saya sejak mula menceburi dunia seni.

"Sejak usia 12 tahun lagi saya mula menyanyi depan orang. Selepas saya belajar Persembahan Seni, dunia pentas lakonan pula diminati," katanya.

Bercerita mengenai projek album kedua, Aisya memberitahu, kemungkinan besar lapan lagu baharu akan dimuatkan.

"Dj Fuzz bertindak sebagai penerbit selain mencipta lagu. Genre album saya terarah kepada pop R&B. Album ini siap sepenuhnya, bulan depan cuma tak pasti bila hendak dipromosikan," katanya.

AISYA bersama kakaknya yang juga chef selebriti, Anis Nabilah (kanan). - Foto Instagram @aisyahasnaa

Ditanya mengenai kegagalan album lalu menambat perhatian peminat muzik hingga dipandang sepi, Aisya percaya ada hikmah di sebalik semua itu.

"Saya percaya album itu dikeluarkan pada masa yang salah. Ketika itu, saya masih belajar hingga tak ada masa untuk mempromosikannya. Salah saya sendiri juga. Saya tak tuding jari kepada sesiapa.

"Untuk album kali ini, saya percaya dengan kemampuan Dj Fuzz. Kami pun sudah kenal lama dan tahu cara dia bekerja," katanya sambil menambah single Lagu Usah Ditanya sudah dimainkan di radio.

INFO

  • Aisya yang membintangi teater Mencari Sumaiyah rancak mempromosikan single terbaharunya berjudul Usah Ditanya ciptaan Dj Fuzz dengan lirik nukilan Amzah Viral.

  • Pernah menghasilkan album solo pada tahun 2011.
AISYA sedar soal populariti itu normal, cuma kena ada caranya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Berita Harian X