Rabu, 15 March 2017 | 12:10am

Orang sakit naik van percuma ke hospital

KOTA KINABALU: Pernah melalui derita hidup susah, seorang usahawan muda menawarkan perkhidmatan menghantar pesakit ke hospital atau klinik secara percuma di sekitar Kota Kinabalu, hingga ke Sepanggar, Tamparuli, Tuaran dan Beaufort.

Ahli perniagaan berkaitan pengurusan acara, Achmad Noorasyrul, 30, berkata beliau berbuat demikian sejak Disember tahun lalu dengan menyediakan sebuah van menerusi program dinamakan ProjekVan10Sen.

Pemegang diploma bidang pelancongan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak yang juga penyelaras projek itu berkata, keutamaan diberi kepada individu yang benar-benar memerlukan bantuan dan ada masalah untuk ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, masalah itu mungkin dalam aspek kewangan, tiada kenderaan untuk ke hospital kerajaan atau swasta dan klinik, atau tiada keluarga dapat membantu atas pelbagai faktor.

"Golongan sasaran kami tidak semestinya mereka yang hidup susah, malah kami membantu mereka yang boleh dikatakan mampu tetapi mungkin ada halangan tertentu.

KEBANYAKAN pesakit yang dibantu adalah mereka yang perlu menjalani rawatan susulan seperti pesakit buah pinggang, barah dan kencing manis. - Foto Malai Rosmah Tuah

ACHMAD Noorasyrul bersama rakannya, Abu yang menawarkan perkhidmatan Projek Van10Sen. - Foto Malai Rosmah Tuah

"Kebanyakan pesakit yang dibantu adalah mereka yang perlu menjalani rawatan susulan seperti pesakit buah pinggang, barah dan kencing manis. Sekurang-kurangnya dengan adanya perkhidmatan ini, saya dapat menabur bakti dan melakukan kerja amal kepada mereka yang memerlukan bantuan," katanya kepada BH Plus.

Wartawan BH juga sempat menaiki van dibeli dengan harga RM12,000 ketika mengambil seorang pesakit buah pinggang berusia 64 tahun selepas menjalani rawatan susulan di hospital selama empat jam, sebelum dihantar ke rumah pesakit itu di Kampung Bantayan, Inanam.

Achmad turut dibantu seorang rakannya secara sukarela dalam melaksanakan projek itu yang ideanya diambil daripada seorang ahli perniagaan di Kuala Lumpur iaitu Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Mr Potato yang menjalankan ProjekVan10Sen.

Dalam sehari, jumlah tertinggi pesakit yang pernah mendapatkan khidmat van Achmad untuk dihantar ke hospital atau klinik adalah tiga orang dengan perkhidmatan itu diketahui menerusi laman sosial Facebook, selain aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, sebagai orang yang pernah hidup susah, projek van itu adalah satu cara membalas bantuan yang diterimanya pada masa lalu.

"Sebab itu projek ini percuma. Walaupun ada juga yang mahu membayar, saya tolak. Kadang-kala ada juga yang memaksa (untuk terima bayaran) dan saya anggap ia sumbangan mereka untuk projek ini," katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

ProjekVan10Sen memberi manfaat besar kepada pesakit kurang berkemampuan terutama yang perlukan rawatan susulan setiap minggu di hospital atau klinik. - Foto Malai Rosmah Tuah

KHIDMAT van percuma diberi keutamaan kepada individu yang benar-benar memerlukan bantuan dan ada masalah ke hospital. - Foto Malai Rosmah Tuah

Penduduk Kampung Bantanyan, Inanam, Salmee Suhana Mohd Sin, 31, berkata projek itu memberi banyak manfaat kepada orang sepertinya yang tidak mempunyai kenderaan.

"Saya perlu membawa bapa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan atau membersih buah pinggang dan ketiadaan kenderaan sedikit sebanyak menjadi cabaran," katanya mengakui perkhidmatan van itu membantu meringankan beban mereka sekeluarga.

ACHMAD Noorasyrul (kiri) dalam perjalanan menghantar pesakit buah pinggang berusia 64 tahun ke Kampung Bantayan, Inanam selepas rawatan susulan di hospital. - Foto Malai Rosmah Tuah

INFO

ProjekVan10Sen

  • Dilancarkan pada Disember tahun lalu di bawah Amal Prihatin Sabah Resources.
  • Untuk membantu golongan sasaran untuk sampai ke hospital atau klinik.
  • Golongan sasar - OKU, warga tua, ibu atau bapa tunggal tidak kemampuan, miskin tegar dan mereka yang mampu tetapi ada halangan seperti tidak mampu mengangkat pesakit.

ACHMAD Noorasyrul mula menawarkah khidmat Projek Van10Sen sejak Disember tahun lalu. - Foto Malai Rosmah Tuah
Berita Harian X