Rabu, 15 March 2017 | 1:23pm

Artifak Gua Pelangi cipta sejarah

PROF Datuk Dr Mokhtar Saidin

KUALA KLAWANG: Penemuan artifak prasejarah di Gua Pelangi di hutan berhampiran FELDA Pasoh 4 dekat sini, menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pengkaji arkeologi dunia.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata penemuan dua tahun lalu itu bukan hanya penting kepada Negeri Sembilan dan Malaysia, malah dunia.

Sebelum penemuan artifak yang dianggarkan berusia kira-kira 14,000 tahun lalu itu, katanya pengkaji arkeologi tempatan dan dunia tertanya-tanya mengenai pergerakan manusia prasejarah.

"Ini kerana tempat terakhir yang menunjukkan bukti kehadiran manusia prasejarah adalah di utara Semenanjung Malaysia, iaitu di Lenggong, Perak dan beberapa gua lain di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

"Hasil cari gali di Gua Pelangi, kita menemui peralatan seperti kapak batu dan juga sisa makanan manusia prasejarah seperti rusa dan siput sedut, iaitu ciri sama seperti di Lenggong dan gua lain kawasan utara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam program Bicara @ Muzium: Sejarah dan Arkeologi di Negeri Sembilan di Muzium Adat di sini, hari ini.

Program ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat.

Dr Mokhtar berkata, lokasi Gua Pelangi di selatan Banjaran Titiwangsa, memperkukuhkan teori pergerakan manusia prasejarah dari utara dan Pantai Timur ke selatan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, katanya artifak yang ditemui di Gua Pelangi mempunyai persamaan dengan artifak di Gua Harimau di Sumatera, Indonesia, yang menyebabkan kalangan pengkaji arkeologi dunia percaya manusia prasejarah dari Semenanjung Malaysia bergerak dari utara hingga selatan Semenanjung Malaysia dan kemudian ke Sumatera.

Sementara itu, katanya penyelidikan akan diteruskan di Gua Pelangi dengan harapan dapat menemui rangka manusia prasejarah di situ.

Berita Harian X