Rabu, 15 March 2017 | 1:38pm

17 orang-utan dibebaskan ke habitat di Kalimantan

ANGGOTA Yayasan BOS membebaskan orang-utan ke dalam Hutan Kehje Sewen, Kalimantan Timur. - Foto AP

JAKARTA: Kumpulan pemuliharaan Indonesia menghantar 17 orang-utan yang diancam kepupusan ke habitat semula jadi bulan lalu.

Sebahagian daripada haiwan itu diangkut dengan helikopter ke kawasan terpencil di kepulauan Borneo.

Mereka berharap tindakan itu dapat menyelamatkan haiwan berkenaan daripada ancaman kegiatan manusia.

Yayasan Orang-Utan Antarabangsa membebaskan 10 mamalia itu ke hutan tanah gambut milik persendirian sebesar saiz Singapura di Kalimantan Tengah pada lewat Februari.

Semuanya dilahirkan di hutan tetapi sebahagian kehilangan ibu bapa disebabkan penebangan hutan dan bakinya dijadikan haiwan peliharaan sebelum diselamatkan.

Satu lagi kumpulan, Yayasan BOS, membebaskan tujuh orang-utan pada awal Mac, ke dalam Hutan Kehje Sewen seluas 86,000 hektar di Kalimantan Timur, yang dikawal walaupun mempunyai permit jangka panjang daripada kerajaan Indonesia.

Ia berkata, dua orang-utan jantan dan lima betina diangkut dengan jalan darat ke landasan persendirian dan diterbangkan dengan helikopter ke lokasi di utara hutan itu, perjalanan yang mengambil masa tiga hingga empat hari berjalan kaki.

"Kita perlukan hutan yang jauh daripada aktiviti manusia. Penggunaan helikopter memang mahal tetapi kami lakukan apa terdaya untuk menghantar orang-utan balik ke habitat mereka dengan selamat," kata ketua eksekutif yayasan itu, Jamartin Sihite.

Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa, tahun lalu mengisytiharkan orang-utan diancam kepupusan kritikal dan berkata jumlahnya yang terbahagi antara Indonesia, Malaysia dan Brunei berkurangan hampir dua pertiga sejak awal 1970-an. - AP

Berita Harian X