Rabu, 15 March 2017 | 5:20pm

Hafiz tidak kisah status bakal isteri


HAFIZ (kanan) dan Joy Revfa.

KUALA LUMPUR: Penyanyi nasyid kontemporari, Hafiz Hamidun, 33, tidak melihat status ibu tunggal bakal isterinya, Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin, sebagai masalah.

Malah Hafiz, yang popular dengan lagu Jodoh Berdua, sudah bersedia untuk menjadi bapa segera kepada anak lelaki berusia tiga tahun, hasil perkahwinan pertama bakal isterinya.

Penyanyi yang turut dikenali dengan album Zikir Terapi itu bakal mendirikan rumah tangga dengan wanita berusia 29 terbabit pada 1 Mei depan.

"Status bakal isteri saya bukannya masalah. Sebelum ini pun saya pernah membuat kenyataan tidak kisah kalau ditakdirkan berkahwin dengan janda. Rasulullah sendiri berkahwin dengan janda bernama Siti Khadijah," katanya kepada BH Online.

Menurut Hafiz, majlis pernikahannya dengan ahli perniagaan kosmetik itu dijangka berlangsung di sebuah masjid di Shah Alam.

Satu majlis sidang media akan diadakan pada 22 Mac ini bagi memaklumkan secara terperinci mengenai perancangan hari bahagia pasangan berkenaan.

"Hubungan kami memang berlaku tanpa dirancang. Selepas empat atau lima minggu bertemu, jodoh kami nampaknya melekat.

"Saya sendiri memang tidak mahu berkawan lama-lama dalam sesebuah perhubungan. Kalau ia boleh dibawa ke arah perkahwinan, perhubungan seperti itulah juga yang saya inginkan. Alhamdulillah, menerusi hubungan kali ini, ia bagai dipermudahkan," katanya sambil memaklumkan beliau melamar wanita itu sekitar minggu lalu.

Kata Hafiz, keluarga kedua-dua pihak juga sudah bertemu dan merestui perhubungan yang terjalin.

"Insya-Allah, pada majlis sidang media itu nanti kami juga akan adakan acara yang menjadi simbolik kepada ikatan hubungan ini. Sidang media itu juga boleh dikatakan merangkap majlis pertunangan kami," katanya.

Selesai bernikah pada 1 Mei, majlis persandingan kedua-duanya akan dilangsungkan pada 1 Julai nanti, diikuti majlis bertandang pada 7 Julai, yang berkemungkinan diadakan di Perak.

2746 dibaca
Berita Harian X