Selasa, 30 Disember 2014 | 5:31am

Sorotan 2014: Malaysia jadi hab pendidikan serantau makin menyerlah


Majlis Penganugerahan APACC oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Tan Chee Kiang (empat dari kiri), Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching (empat dari kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar (tiga dari kanan) pada majlis di Politeknik Seberang Perai.

Sektor pengajian tinggi melakar pelbagai kecemerlangan yang menyumbang kepada usaha menjadikan negara sebagai hab pendidikan serantau sepanjang tahun 2014. Antara pencapaian membanggakan apabila institusi pengajian tinggi (IPT) tertua negara, Universiti Malaya (UM) memperoleh penarafan lima bintang daripada QS Intelligence Unit iaitu dalam kelompok kumpulan yang sama dengan universiti terkemuka dunia seperti New York, Duke dan Columbia.

Secara keseluruhan, lima universiti penyelidikan negara melonjak kedudukan dalam Penarafan Universiti Dunia QS dengan UM mendahului pada kedudukan ke-151 berbanding tempat ke-167 tahun lalu. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperbaiki kedudukan daripada tempat ke-269 tahun lalu kepada tempat ke-259 tahun ini selain kedudukan ke-19 terbaik dunia dalam kategori universiti yang berusia bawah 50 tahun.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berada di tangga ke-294, naik 60 kedudukan berbanding tahun lalu, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing berada di tangga ke-309 dan ke-376.

USM turut menduduki tempat ke-38 terbaik di dunia dalam bidang kejuruteraan kimia dan ke-28 dalam bidang sains alam sekitar.

Politeknik Malaysia dapat anugerah emas

Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara juga mula mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk Politeknik Malaysia yang menjadi institusi politeknik pertama di dunia menerima anugerah emas menerusi akreditasi Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, ketika mengumumkan perkara itu berkata, politeknik juga menerima pengiktirafan daripada Canadian Technology Accreditation Board (CTAB) bagi tujuh program kejuruteraan dikendalikan.

Satu lagi institusi kemahiran negara, kolej komuniti, tidak ketinggalan mencatat transformasi terutama dalam aspek penawaran kursus termasuk menerusi pengenalan program Pusat Teknologi Kenderaan Hibrid dan Elektrik.

Pusat teknologi itu juga diiktiraf sebagai pusat bertauliah bertaraf antarabangsa oleh IMI Awards United Kingdom (UK) yang juga sebuah badan pengiktirafan antarabangsa bagi industri automotif yang tersohor di UK.

Penambahbaikan TVET itu sejajar usaha mentransformasi ekonomi negara daripada berasaskan pengeluaran kepada perkhidmatan kerana lebih ramai tenaga mahir tempatan berkelayakan sijil kemahiran dan diploma yang diperlukan bagi menjana pelbagai idea baharu serta mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing.

Justeru, tidak hairan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun depan bagi program transformasi vokasional dan teknik serta menaik taraf kolej untuk meningkatkan pengambilan pelajar di kolej vokasional dan kolej komuniti dalam pembentangan Bajet 2015.


Idris ketika merasmikan Pusat Teknologi Kenderaan Hibrid & Elektrik pada program Lebaran Qaseh 2014 Kolej Komuniti Bersama Industri, Usahawan dan Komuniti di Kolej Komuniti Kepala Batas, Pulau Pinang.

Perubahan dasar mantapkan kualiti pengajian tinggi

Beberapa inisiatif perubahan polisi dan dasar turut dilaksana bagi memantapkan kualiti pengajian tinggi termasuk penjenamaan semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang diperkenalkan sejak 2007 kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pengajian Tinggi).

Susulan penggabungan Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi, penjenamaan semula pelan itu dianggap usaha penting bagi menjajarkan antara perancangan pada peringkat sektor pelajaran dan pengajian tinggi.

Antara perkara penting diberi perhatian adalah kualiti graduan, penarafan universiti, penerbitan jurnal penyelidikan, teknologi dalam pembelajaran dan pengajaran, pendidikan teknikal dan vokasional, kelestarian kewangan, tadbir urus universiti serta sistem penyampaian kementerian.

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan pemantauan serta pengurusan kebajikan pelajar antarabangsa pula, penggunaan i-kad menggantikan pasport diwajibkan bagi pelajar luar negara yang melanjutkan pengajian ke negara ini mulai 1 Julai lalu.

Kad yang dikeluarkan Jabatan Imigresen itu mengandungi maklumat peribadi pelajar seperti nama, tarikh lahir, nombor pasport, maklumat institusi pengajian tinggi, tarikh tamat belajar serta gambar.

Negara kini mempunyai 123,000 pelajar antarabangsa daripada 163 negara yang mengikuti pelbagai jurusan di institusi pengajian tinggi di sini dan kerajaan menetapkan sasaran mahu menjadi hab pendidikan global keenam terbesar menjelang 2020.

Dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengusulkan peningkatan tahap minimum band Malaysian University English Test (MUET) bagi syarat kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan bergraduasi.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan, menyarankan supaya mewajibkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lulus kursus bahasa Inggeris sebelum menamatkan pengajian. Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan masih lagi membuat penilaian berhubung cara ia dilaksanakan.

Pemegang PhD termuda

Sementara itu, kejayaan pelajar UTM, Dr Hazzirah Izzati Mat Hassim, bergelar pemegang Ijazah Ijazah Doktor Falsafah (PhD) jurusan Matematik Tulen pada umur 24 tahun wajar dijadikan inspirasi.

Sepanjang tempoh pengajiannya, Hazzirah Izzati menyumbang dalam penerbitan buku, jurnal berindeks dan tidak berindeks selain membentangkan hasil penyelidikannya pada persidangan antarabangsa termasuk Seminar Algebra Iran di Sabzevar, Iran, Persidangan Teori Kumpulan Antarabangsa Biennial di Istanbul, Turki, Persidangan Matematik Asia di Busan, Korea Selatan dan Seminar Algebra di University of Brasilia, Brazil.

Beliau menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pemegang PhD termuda negara dan bercadang menghasilkan kajian sendiri berkaitan teori kumpulan Aljabar.

Di sebalik pelbagai kegemilangan yang dicapai itu, timbul juga isu pelajar dan masalah berbangkit yang mencacatkan senario pengajian tinggi.

Kealpaan lebih 170,000 peminjam tegar melunaskan bayaran tunggakan pinjaman pelajaran berjumlah RM1.23 bilion sejak lebih 10 tahun lalu memaksa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil langkah drastik menyenaraikan mereka dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) tahun depan.

Tindakan terhadap peminjam tegar yang tidak membayar selama tiga tahun selepas tamat pengajian itu hanya akan diambil jika mereka masih enggan memulakan pembayaran tunggakan pinjaman dalam tempoh tiga bulan diberikan berakhir 31 Disember ini.

CCRIS kendalian Bank Negara Malaysia (BNM) adalah rekod dirujuk semua institusi kewangan tempatan dalam proses semakan mereka terhadap pelanggan yang mahu membuat pinjaman, bagi menentukan kelayakan dan kemampuan individu tertentu membayar balik pinjaman.

Isu mahasiswa yang tercalit dengan kontroversi juga tidak kurang sepi dan paling mencuri tumpuan adalah kes lapan pelajar UM yang menganjurkan jelajah reformasi serta meneruskan program `40 Tahun: Dari UM ke Penjara' meskipun mendapat bantahan pengurusan universiti.

Mereka dikenakan tindakan tatatertib oleh pengurusan UM selain turut dikenakan pendakwaan mengikut Akta Hasutan.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda bagi memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik tetapi ia harus dimanfaatkan berasaskan penilaian yang bijak, bukan merosakkan masa depan dan memusnahkan harapan keluarga.

Apapun cabaran mewarnai pengajian tinggi, kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi menanganinya supaya tidak menjejaskan usaha memperbaiki kedudukan Malaysia sebagai destinasi pendidikan pilihan utama ke-11 sebagaimana disenaraikan dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

162 dibaca
Berita Harian X