Rabu, 15 March 2017 | 9:00pm

MASwings tingkat kualiti operasi

KOTA KINABALU: MASwings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines, menetapkan 2017 sebagai tahun yang memberi fokus kepada pembaikan dan peningkatan kualiti perkhidmatan dalam memberi kepuasan kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aminuddin Zakaria, berkata itu termasuk memberi fokus mengurangkan kelewatan dan pembatalan penerbangan, menaik taraf reka bentuk kabin serta kru dengan penampilan terkini bersesuaian dengan moto baharu yang diperkenalkan, 'Muda, Segar, dan Pantas'.

Aminuddin berkata, MASwings juga mahu memperbaharui perkhidmatan pelanggan dalam usaha memberi pengalaman dan kepuasan pelanggan semasa mendaftar masuk serta ketika berada di dalam pesawat.

"Maklum balas yang kami terima daripada pelanggan, reputasi kami sangat rendah dan keyakinan pelanggan untuk terbang bersama MASwings adalah satu cabaran.

"Kami berusaha meningkatkan reputasi dan menanam kembali keyakinan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan kami," katanya dalam sesi penerangan bersama media di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, MASwings juga akan melaksanakan program penambahbaikan pesawat mulai 20 Februari hingga 31 Disember depan, bagi menyelenggara dan membaik pulih semua 20 pesawat syarikat itu.

Menurutnya, program itu akan memberi kesan lima laluan merangkumi Kota Kinabalu-Lahad Datu, Kota Kinabalu-Sandakan, Miri-Limbang, Kota Kinabalu-Miri dan Miri-Labuan berikutan MASwings mengurangkan satu kekerapan penerbangan setiap hari.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak akan menjejaskan operasi syarikat itu. - BERNAMA

Berita Harian X