Selasa, 30 Disember 2014 | 7:22am
KUBAH Masjid Jamek Sungai Rusa rosak akibat dilanda ribut kira-kira jam 9.30 malam tadi. - Foto Ramdzan Masiam
ISMAIL Abu Bakar,67, bersama isterinya Radiah Ishak,59, sedang memeriksa rumah mereka yang dilanda ribut turut dibantu dua cucunya Mohd Faiz Faizal, 13, dan Nurul Fazirah faizal, 11, dalam kejadian jam 9.30 malam tadi, di Kampung Permatang Pasir. - Foto Ramdzan Masiam
MANGSA ribut, Zainal Ariffin, 64, sedang mengubah barang-barang dalam rumahnya di Kampung Permatang Pasir akibat dilanda ribut kira-kira jam 9.30 malam tadi. - Foto Ramdzan Masiam

Ribut Balik Pulau: Penduduk kongsi saat cemas

bhnews.bh.com.my

Balik Pulau: "Selama saya menetap dan membesar di sini, inilah pertama kali kejadian ribut kuat berlaku sehingga merosakkan rumah saya," kata seorang penduduk Kampung Permatang Pasir, di sini, malam tadi.

Abdul Jalil Ishak, 54, berkata beliau terkejut apabila angin kencang yang bermula sejak jam 9 malam itu merosakkan sebahagian daripada bumbung kediamannya.

Menceritakan detik kejadian, Abdul Jalil yang bekerja sebagai pemandu bas, berkata beliau hanya memikirkan keselamatan isterinya,

Maliah Othman, 53, yang terlantar akibat penyakit strok.

"Saya bersama empat anak ketika itu sedang berehat di dalam rumah. Kami terkejut apabila terdengar bunyi bising dan tidak sangka rupanya bumbung sudah diterbangkan ribut.

"Pada ketika itu, saya hanya memikirkan keselamatan keluarga, terutama isteri. Justeru, kami sepakat untuk keluar rumah dan berteduh di halaman rumah," katanya.

Tinjauan BH kira-kira jam 12 tengah malam, selepas satu jam kejadian ribut berakhir mendapati puluhan kediaman, termasuk beberapa sekolah, masjid dan balai raya rosak teruk.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Permatang Pasir, Kampung Sungai Rusa, Kampung Titi Teras dan Kampung Sungai Pinang.

Sementara itu, sebuah pusat penempatan sementara dibuka di Sekolah Kebangsaan Sungai Rusa untuk mangsa kejadian ribut.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sungai Rusa, Abdul Khanan Iskandar, berkata sebanyak 22 keluarga ditempatkan di pusat berkenaan.

"Setakat ini ada 23 keluarga di sini. Namun kita tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan berlindung di sini berikutan kita dapat tahu lebih 30 rumah rosak teruk di sekitar kawasan ini," katanya.

Berita Harian X