Khamis, 16 March 2017 | 12:04am

Alvin disangka mualaf gara-gara Suri Hati Mr Pilot

KUALA LUMPUR: Pelakon, Alvin Chong, 26, mendedahkan beliau pernah disangka seorang mualaf selepas melakonkan watak berkenaan dalam drama popular, Suri Hati Mr Pilot (SHMP).

Katanya, biarpun watak terbabit bukanlah besar dan hanya muncul dalam 30 babak, ia berjaya meninggal kesan terhadap penonton.

Dalam drama rantaian arahan Michael Ang dan Hadith Omar itu, beliau memegang watak Johan, iaitu rakan baik kepada karakter Ejaz, lakonan Fattah Amin.


PELAKON, Alvin Chong. - Foto Aziah Azmee

"Hanya kerana melakonkan watak lelaki mualaf dalam drama terbabit, peminat menyangka saya benar-benar lelaki Cina yang baru memeluk Islam," katanya yang nyata gembira dengan sokongan diberikan kalangan peminat Melayu terhadap kemunculannya dalam naskhah terbabit.

Malah, kata pemuda berasal dari Pulau Pinang ini, sejak membintangi drama berkenaan, separuh daripada pengikut akaun Instagramnya kini terdiri daripada peminat berbangsa Melayu.

Begitupun, sebelum namanya diterima baik oleh mereka, Alvin mengaku beliau pernah ditolak mentah-mentah oleh beberapa syarikat produksi tempatan berikutan dirinya tidak dikenali ramai.

Bukan sekadar tidak mempunyai nama, malah beliau juga gagal menarik perhatian mereka kerana saat itu dirinya masih pelat bahasa Cina ketika bertutur.


ALVIN Chong antara pelakon dalam drama popular, Suri Hati Mr Pilot (SHMP). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Menurut pelakon yang turut dikenali sebagai penyanyi ini, selama setahun beliau berdepan cabaran ketika berusaha menembusi pasaran Melayu sebelum nasibnya tiba-tiba berubah apabila diterima membintangi drama rantaian yang turut menampilkan Neelofa itu.

Kini, Alvin mungkin mampu tersenyum apabila namanya boleh diletakkan sebaris dengan beberapa lagi artis Tionghua yang diterima baik kalangan peminat Melayu seperti Datuk Nancie Foo, Winnie K, Soo Wincci, Adeline Tsen, Keith Foo dan Elizabeth Tan.

"Sejak pertengahan tahun 2015, saya mencuba nasib untuk ke pasaran Melayu, namun ia bukan jalan yang mudah. Setahun juga saya mencuba mendekati rumah produksi. Begitupun percubaan saya sering gagal.

"Bagaimanapun, tawaran melakonkan watak Johan dalam SHMP mengubah dimensi hidup saya. Watak saya dalam drama itu tidaklah besar sangat dan saya hanya muncul dalam satu atau dua babak bagi setiap episod


ALVIN Chong ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama 3 Gadis Manis. - Foto Shiraz Ali

"Saya pada mulanya memang tidak menyangka impak drama itu sedemikian rupa. Niat asal saya hanya mahu menimba pengalaman dengan produksi baharu, tiba-tiba drama itu meledak. Nama saya pun mula dikenali ramai. Dari situ, perlahan-lahan impian saya mencuri perhatian masyarakat Melayu menjadi nyata," katanya yang ditemui pada sidang media pelancaran drama 3 Gadis Manis, di ibu kota, baru-baru ini.

Bagi mengekalkan momentum dan populariti diraihnya kini, Alvin yang memulakan kembara seninya sejak 2009 selepas menyertai pertandingan Astro Star Quest, rancak menyusun strategi tersendiri.

"Selain berlakon, saya juga seorang penyanyi sejak tujuh tahun lalu. Pada 2016 saya muncul bersama single berbahasa Melayu berjudul Lagu Mu, ciptaan Omar K. Cuma lagu itu tidak dimainkan di radio. Kini, video muziknya sudah pun siap dan boleh ditonton di laman YouTube.

"Sebelum ini pun saya sering memberikan nafas baharu kepada lagu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina di YouTube. Saya turut merancang untuk mencipta kandungan baharu di laman video berkenaan, contohnya seperti ruangan santai yang membincangkan topik tertentu," katanya.

Sisi lain, Alvin berkawan akrab dengan bekas bintang Akademi Fantasia, Dafi. Mereka turut bekerjasama mengusahakan kedai haiwan peliharaan dipanggil House of Paradox di Petaling Jaya, Selangor.

"Perniagaan itu mendapat sambutan baik termasuk di kalangan kawan dan saudara mereka. Dalam sebulan, perniagaan kami pernah mencapai jualan sehingga RM60,000. Begitupun ia belum mencapai sasaran, iaitu RM100,000 sebulan. Kami memerlukan angka itu kerana kos operasinya pun tinggi. Dalam sebulan, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM40,000 untuk menampung kos operasi," katanya yang berada di kedai berkenaan sebanyak tiga kali dalam seminggu.

INFO:

* Mula dikenali selepas membintangi drama Suri Hati Mr Pilot, tahun lalu.

* Pernah menyertai program Astro Star Quest pada 2009.

* Muncul dengan single berbahasa Melayu, Lagu Mu, pada 2016.

* Ingin mempunyai program santai di YouTube.

Berita Harian X