Khamis, 16 March 2017 | 12:06am

Rumah pusaka jadi galeri lukisan

ROMPIN: Melihat kepada keadaan fizikalnya daripada luar, sebuah rumah kayu di Kampung Simpang Sepayang, dekat sini, hanya kelihatan seperti rumah pusaka yang biasa dilihat di perkampungan serta desa.

Bagaimanapun, sebaik menjengah masuk ke rumah diwarisi Zuhairi Zainal Abidin, 58, daripada keluarganya, ia bukan rumah pusaka biasa sebaliknya galeri lukisan yang menempatkan karyanya sejak tahun 2012.

Zuhairi berkata, pada mulanya beliau memilih kembali ke Rompin dari Kota Bharu, Kelantan, untuk menjaga rumah pusaka berkenaan namun kemudian beliau mendapat ilham bagi menjadikan ia sebagai tempat bekerja.

Beliau kemudian memberikan nama Galeri Daun Payung ke atas rumah pusaka dan menempatkan pelbagai karya lukisannya yang ditempah oleh orang luar yang meminati karya abstraknya.

"Saya membina satu pondok khas dengan seni bina tradisional 90 peratus berasaskan sumber hutan berhampiran seperti kayu bulat, nibong dan daun payung sebagai atap ibarat rumah binaan zaman dahulu selain menjadikan ia sebagai tatapan generasi kini.


PELUKIS, Zuhairi Zainal Abidin. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Cuma keadaannya sedikit bermasalah ketika hujan dan ribut. Jadi, kalau ada pihak yang mahu menjalin kerjasama atau menyumbang dalam bentuk kewangan boleh ke sini untuk melihat dulu dan berbincang mengenainya," katanya ketika ditemui BH Plus, di sini.

Zuhairi berkata, beliau merancang mengembangkan operasi galeri berkenaan dengan mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi pelajar atau sesiapa yang berminat untuk belajar melukis.

"Mungkin kita boleh membawa pelancong dari luar yang terdiri daripada pelukis untuk datang ke sini dan berkarya bagi mendapatkan ilham," katanya.

Beliau mula menjadi pelukis sepenuh masa sejak berusia 26 tahun dan dalam tempoh itu beliau 'berkelana' ke pelbagai lokasi termasuk menjadi pelukis jalanan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kota Bharu.

"Saya tidak belajar melukis secara formal di bangku sekolah, sebaliknya ia mungkin bakat semula jadi saya. Saya tidak pernah serius sehingga saya mengenali seorang pelukis ketika bekerja di Genting Highlands.

"Dia buat pameran di sana dan saya mula berkawan dengannya. Secara tidak langsung ia memberi inspirasi kepada saya. Dia mengajar teknik melukis dengan lebih baik dan kemudian saya mula melukis secara sambilan selama tujuh tahun," katanya.


RUMAH pusaka jadi galeri lukisan di Kampung Simpang Sepayang, Rompin.

Beliau kemudian mengambil keputusan menjadi pelukis sepenuh masa kerana bimbang kemahiran melukis hilang apabila bekerja di bidang lain dan menggilap kemahirannya dengan mempelajari pelbagai jenis lukisan seperti potret, pemandangan, abstrak hingga membuat arca.

"Lukisan yang paling saya minati adalah jenis abstrak kerana ia boleh memuatkan sebuah cerita panjang dan boleh dikembangkan hingga menjadi seperti novel bersiri.

"Kebiasaannya orang membeli lukisan jenis ini adalah mereka yang memahami mesejnya. Ada juga yang tidak faham tetapi suka bentuk dan warnanya," katanya.

INFO

  • 300-400 karya.
  • Harga RM20-RM3,000.
  • Rumah kayu berusia lebih 30 tahun.
  • Aktif berkarya bersama kumpulan Angkatan Pelukis Semalaysia (APS) ketika di Kuala Lumpur dan Persatuan Seni Lukis Kelantan (PERSENI) selepas berpindah ke Kelantan.
  • Melukis secara sambilan selama 7 tahun dan tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang berkenaan. 


ZUHAIRI memberikan nama Galeri Daun Payung ke atas rumah pusaka dan menempatkan pelbagai karya lukisannya yang ditempah oleh orang luar yang meminati karya abstraknya. - Foto Muhd Asyraf Sawal

LUKISAN yang paling Zuhairi minati adalah jenis abstrak. - Foto Shahrinnahar Latib

Berita Harian X