Khamis, 16 March 2017 | 3:45pm

Kehilangan ayah, abang jadi motivasi cemerlang SPM


SYAHEEDA Mohd Shafee (kanan) ibu angkatnya, Nooraini Caffoor, 58 gembira selepas menerima pelajar cemerlang ketika keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar. - Foto Mohd Asyraf Sawal

KUANTAN: Pemergian dua insan penting dalam hidup ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 menguatkan azam Syaheeda Mohd Shafee untuk memperoleh keputusan cemerlang 9 A.

Ujian kehilangan bapa, Mohd Shafee Mohamad, 58, dan abang, Syahmi, 28, yang masing-masing meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya tahun lalu, dihadapi dengan tenang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar.

Beliau sentiasa berdoa kepada Allah supaya dikuatkan semangat untuk menghadapi SPM selepas kehilangan ayahnya pada Februari tahun lalu, diikuti abangnya enam bulan kemudian.

"Saya pernah berjanji dengan arwah ayah untuk belajar bersungguh-sungguh agar mendapat keputusan cemerlang.

"Alhamdulilah, saya bersyukur kerana berjaya mengotakan janji dan memperoleh keputusan 9A, walaupun dia tidak ada bersama hari ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Keputusan SPM 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail dan Pengetua sekolah berkenaan, Mohammad Badruddin Yusoff.

Anak bongsu daripada lima beradik itu tekad untuk mencapai cita-citanya untuk bergelar sebagai seorang akauntan dan bercadang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Jika ada rezeki dan ditawarkan biasiswa...saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara...itu adalah pilihan utama, cuma kalau dapat menyambung pelajaran di dalam negara pun tidak ada masalah," katanya.

30 dibaca
Berita Harian X