Khamis, 16 March 2017 | 8:57pm

Tiket mahal konsert Salman Khan laris

DATUK Geethanjali merasmikan 'Da-Bangg The Tour 2017' di sebuah hotel hari ini yang merupakan konsert Bollywood terbesar di Malaysia yang menampilkan Salman Khan sebagai artis utama. Turut hadir Pengurus Besar Major Event Malaysia Tony Nagamaiah (kanan) dan Pengarah Urusan GHC Solution Datuk Jasbeer Singh (kiri).- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Biarpun tiket Zon Sultan konsert jelajah Da-Bang The Tour 2017 - Salman Khan Live in Malaysia dijual pada harga RM2,222, hampir 90 peratus daripadanya sudah disambar peminat sejak jualannya dibuka Februari lalu.

Perkara itu dimaklumkan penganjur persembahan, GHC Solutions Sdn Bhd, pada sidang media di sini hari ini.

"Kami memperuntukkan 506 tempat duduk bagi tiket Zon Sultan yang dijual pada harga RM2,222. Sekalipun berdepan masalah ekonomi tidak menentu, tiket mahal berkenaan tetap menjadi pilihan peminat.

"Bukan saja dibeli kalangan peminat di Malaysia, tiket berkenaan turut menarik minat penggemar Bollywood dari Indonesia, Bangladesh dan Singapura," kata Ketua Pegawai Eksekutif GHC Solutions, Datuk Jasbeer Singh.

Konsert jelajah yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Mines pada 14 April depan itu menyaksikan tiket berharga RM999 bagi Zon Da Bang, RM777 (Zon Jai Ho), RM555 (Zon Ready), RM333 (Zon Kick) dan RM111 (Zon Entry Zone).

"Bagi pemegang tiket bernilai RM2,222, mereka turut berpeluang bertemu artis Bollywood yang terbabit dalam konsert ini, pada acara keraian selepas persembahan berakhir," kata Jasbeer lagi.

Selain Salman Khan sebagai tarikan utama, konsert itu juga menampilkan beberapa bintang ternama India seperti Prabhu Deva, Tamannah, Bipasha Basu, Badshah, Manish Paul dan Daisy Shah.

Selain Malaysia yang dipilih sebagai lokasi pertama, konsert jelajah berbajet besar itu akan turut singgah di Hong Kong; Auckland, New Zealand; serta Sydney dan Melbourne, Australia.

Sementara itu, Pengerusi GHC Solutions, Datuk Geethanjali G, berkata konsert terbabit juga dijangka menampilkan artis tempatan.

"Bagaimanapun kita belum mahu mengumumkannya terlebih dulu. Anggaplah kemunculan mereka nanti sebagai kejutan pada konsert ini," katanya.

Konsert jelajah berkenaan juga boleh dianggap sebagai kepulangan semula Salman ke pentas persembahan selepas hampir sedekad tidak berbuat demikian.

Bagi peminat yang tak mahu terlepas peluang menonton konsert itu, mereka boleh melayari www.AirAsiaRedtix.com atau www.facebook.com/Dabangtourkl.

Berita Harian X